HomeUtamaMAFI Prihatin Diperkasa Dengan Penglibatan Pihak Swasta

MAFI Prihatin Diperkasa Dengan Penglibatan Pihak Swasta

Read Time:2 Minute, 4 Second

PUTRAJAYA : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus memperkasa program MAFI Prihatin dengan penglibatan pihak swasta selaras dengan pendekatan ‘whole-of-nation’ dalam usaha negara memerangi pandemik COVID-19.

Menerusi pendekatan itu, sebanyak 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara tampil memberi sumbangan ‘in-kind’ dalam bentuk barangan keperluan harian dan makanan kepada MAFI untuk disalurkan kepada golongan sasar.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelbagai barangan keperluan harian disumbangkan termasuk beras, minyak, gula dan lain-lain serta pelitup muka dengan nilai keseluruhan sebanyak RM205,400.

“Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak Januari lalu adalah bertujuan membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 disamping menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID- 19.

“Bantuan melalui MAFI Prihatin juga telah diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata selepas menerima sumbangan secara simbolik daripada 13 syarikat swasta dan korporat dalam industri padi beras negara di Wisma Tani disini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri MAFI II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Ketua Setiausaha MAFI, Dato’ Haslina Abdul Hamid.

Antara pihak syarikat dan korporat yang terlibat ialah PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS), Serba Wangi Sdn. Bhd, OEL Distribution (KL) Sdn. Bhd, Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, YHL Holdings Sdn Bhd, FGV Sdn. Bhd, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Eco Agro Pentagon Sdn. Bhd, Yayasan Kebajikan Pelajar Malaysia, Edaran Padi Sdn. Bhd. (Best Sekinchan) dan Vfive Group Sdn. Bhd.

Sementara itu, Dr Ronald berkata, sejak 1 Jun hingga 18 Julai sahaja, sebanyak 59,816 orang penerima mendapat manfaat daripada MAFI Prihatin melalui 264 program anjuran MAFI di seluruh negara yang telah melibatkan nilai bantuan sebanyak RM 5.2 juta.

Katanya, bantuan MAFI Prihatin disalurkan melalui pelbagai Jabatan dan Agensi di bawah MAFI.

Antaranya Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“MAFI akan meneruskan program MAFI Prihatin melalui Jabatan dan Agensi di bawah MAFI serta dengan kerjasama strategik bersama pihak swasta khususnya pemain industri agromakanan yang pastinya akan membolehkan lebih ramai lagi golongan yang memerlukan mendapat manfaat dan menerima bantuan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular