HomeUtamaKemukakan Keputusan Calitan Tiga Hari Sebelum Bersidang - Speaker DUN Sabah

Kemukakan Keputusan Calitan Tiga Hari Sebelum Bersidang – Speaker DUN Sabah

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU :  Keputusan ujian calitan COVID-19 perlu dikemukakan tiga hari sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bersidang.

Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya berkata,  selain ujian calitan pihaknya juga menetapkan individu perlu lengkap dua dos vaksin sebagai prosedur operasi standard (SOP) utama bagi pelaksanaan persidangan selama tiga hari bermula 24 Ogos depan.

“Semua Ahli Yang Berhormat (YB) serta para petugas yang terlibat dalam persidangan pada kali ini wajib mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 kepada pihak kami tiga hari sebelum bersidang .

“Di samping itu, lengkap dua dos vaksin COVID-19 juga adalah diwajibkan,” katanya kepada media selepas mengikuti Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seluruh Malaysia secara maya di sini, hari ini.

Mengenai persidangan tersebut, Kadzim memaklumkan, ia adalah persidangan tahunan yang bertujuan untuk memperbaiki inisiatif, prosedur di Parlimen dan juga negeri-negeri. 

“Persidangan disertai para Speaker DUN, Parlimen serta Dewan Negara dan Dewan Rakyat iaitu seramai 16 orang dan ini adalah program tahunan.

“Oleh sebab pandemik COVID-19, ia tidak dapat diadakan pada tahun lalu dan dianjakkan pada tahun ini.

“Tujuan persidangan ini adalah untuk membolehkan para Speaker Parlimen dan DUN bertukar pendapat serta pandangan bagaimana untuk memperbaiki, inisiatif, prosedur di Parlimen dan juga negeri-negeri. 

“Pada kali ini, kita berbincang untuk mendapatkan prosedur yang uniform khususnya dalam mengadakan sidang semasa pandemik ini,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar Kadzim, antara isu yang dibawa dari Sabah ialah usaha bagi meningkatkan keupayaan capaian jalur lebar di negeri ini.

“Ini kerana keupayaan capaian jalur lebar agak kurang memuaskan dan ia tidak memungkinkan persidangan DUN dijalankan secara hybrid,” katanya.

Hadir sama mengikuti persidangan terbabit ialah Timbalan-Timbalan Speaker, Datuk Ahmad Abdul Rahman dan Datuk George Anthony Ginibun serta Setiausaha DUN Sabah yang baharu, Rafidah Maqbool Rahman./PENERANGAN

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular