HomeUtamaPICK : Sabah Terima 53,000 Dos Vaksin CanSino, Bantu Lancarkan Program Vaksinasi

PICK : Sabah Terima 53,000 Dos Vaksin CanSino, Bantu Lancarkan Program Vaksinasi

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 53,000 dos vaksin jenis CanSino menjadi kumpulan pertama tiba di Sabah semalam dan kumpulan vaksin dos tunggal seterusnya dijangka akan turut diterima bulan ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Rose Nani Mudin berkata, vaksin itu akan dapat membantu melancarkan program vaksinasi di negeri ini.

“Sehingga semalam lebih 1.46 juta penduduk di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 manakala 866,228 orang lagi telah melengkapkan dua dos suntikan.

“Kadar vaksinasi orang dewasa iaitu 18 tahun dan lebih di negeri ini telah mencapai 53.3 peratus (dos pertama) dan 31.4 peratus daripada mereka telah menerima dua dos lengkap,” katanya dalam kenyataan disini malam tadi.

Dr Rose Nani berkata, pihaknya dan kerajaan negeri Sabah akan terus mempergiat vaksinasi di kawasan pedalaman dan sukar dicapai selain terus membuka pusat pemberian vaksin secara ‘walk-in’.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), sebanyak 80 hingga 90 peratus COVID-19 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) merupakan individu yang tidak divaksin.

“Justeru itu, saya menyeru semua penduduk Sabah mesti mengambil vaksin COVID-19 ini bagi menyelamatkan nyawa mereka serta keluarga.

“Pada ketika ini, jangkitan COVID-19 telah pun berleluasa dalam komuniti, semua orang berisiko untuk dijangkiti dan menjangkiti.  Tindakan pencegahan di peringkat individu adalah kunci utama bagi menghalang penyebaran virus ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Rose Nani berkata, kes lambat daftar terjadi apabila kes yang dikesan meningkat mengakibatkan beban ujian makmal dan kerja petugas turut meningkat.

“Beberapa langkah penambahbaikan sedang dilakukan termasuk penyumberluaran, meningkatkan jumlah anggota yang menjalankan ujian, memanjangkan waktu bertugas di makmal sehingga 12 tengah malam selain meningkatkan keupayaan ujian secara teknikal,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular