HomeUtamaGRS Akan Terus Bekerjasama, Laksana Agenda Pembangunan Negeri

GRS Akan Terus Bekerjasama, Laksana Agenda Pembangunan Negeri

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerjasama dan menghormati amanah rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu bagi mentadbir negeri ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan GRS perlu dipertahankan bagi melaksanakan pelbagai agenda pembangunan termasuk mengurus pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negeri ini.

“Sejak dari awal lagi kami mengatakan akan bekerjasama dan menghormati amanah rakyat.  Semua pihak dalam GRS juga secara kolektif telah bersetuju untuk mentadbir negeri dalam tempoh lima tahun.

“Kita perlu mengenepikan politik dan memberi fokus kepada agenda pembangunan selain mengurus pandemik COVID-19 dengan sebaiknya termasuk memulihkan ekonomi Sabah,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, landskap politik di negeri ini juga adalah unik dan ia turut diakui Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut mengambil maklum kenyataan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan kesediaan partinya untuk berdepan BERSATU pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dinyatakan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin Sabtu lalu.

“Kenyataan Presiden BERSATU adalah berdasarkan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mana UMNO akan mempertahankan dan tidak berkompromi di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi oleh parti itu pada PRU yang lalu.

“Namun dalam konteks politik Sabah, ia sangat unik di sini. Ia adalah keadaan yang berbeza (berbanding dengan Semenanjung). Bagi kami di Sabah, kami akan berbincang dengan semua pihak dalam GRS dengan bijak dan sampai pada jalan penyelesaian terbaik untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Hajiji berkata, Presiden BERSATU juga telah menyatakan bahawa Muhyiddin akan menyerahkan perkara itu kepada GRS untuk dibincangkan.

Semalam, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri menyatakan bahawa UMNO Sabah bersedia menghadapi bukan sahaja BERSATU tetapi parti mana pun dalam GRS pada PRU akan datang.

Selain itu, Bung turut berkata, UMNO akan bertanding di semua kerusi yang mereka menangi termasuk yang kalah selepas beberapa calon yang menang ‘beralih angin’ ke BERSATU.

GRS terdiri daripada Perikatan Nasional (BERSATU, STAR, SAPP, PAS dan Gerakan); Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC, PBRS) dan Parti Bersatu Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular