KOTA KINABALU: Pembudayaan nilai-nilai integriti di kalangan warga Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) perlu ditekankan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan semasa.
Menterinya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, membudayakan nilai integriti tersebut haruslah melibatkan semua pihak termasuklah segenap lapisan warga kerja di jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan.
Jelasnya, ini di tambah dengan konsep pelaksanaan ‘digital government’ yang semakin mendapat tempat dan menjadi nilai tambah dalam memastikan ketelusan, keberkesanan pentadbiran ketika dalam perkhidmatan.
“Kerajaan kini telah menetapkan halatuju untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang bebas rasuah serta meningkatkan tadbir urus dan integriti dalam masyarakat khususnya di kalangan penjawat awam.
“Misi tersebut adalah sejajar dengan matlamat dalam membendung dan membenteras amalan rasuah dalam sistem pengurusan pentadbiran ke arah pentadbiran dan perkhidmatan yang lebih telus, cekap dan berkesan,” katanya.
Shahelmey berkata demikian ketika merasmikan Minggu Integriti dan Pelancaran Pelan Strategik 2021-2026 peringkat KPMKR di pejabatnya pagi tadi.
Menurutnya, KPMKR menyahut saranan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah rasuah di negeri ini.
“Kementerian ini menyahut saranan matlamat Kerajaan Negeri untuk menggubal satu Pelan Antirasuah yang mana ianya dapat meminimakan tatacara salahlaku.
“Harapan saya agar kementerian ini berganding bahu dan bersatu hati dalam usaha memerangi rasuah melalui penguatkuasaan Pelan Antirasuah,” katanya.