KOTA KINABALU: Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri apabila tewas tipis 0-1 kepada Melaka United pada saingan suku akhir pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Likas malam ini.
Pasukan pelawat dilihat lebih banyak mengawal permainan dan membuat serangan pada separuh masa pertama namun gagal memperoleh sebarang gol.
Meskipun dibarisi beberapa pemain muda, skuad yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee itu terus memberi saingan kepada pasukan pelawat yang turut disaksikan hampir 7,213 penyokong tuan rumah.
Sabah FC dilihat tidak banyak membuat serangan bahaya pada separuh masa pertama namun berusaha untuk memperoleh gol penyamaan pada separuh masa kedua selepas pasukan pelawat berjaya mendahului jaringan gol menerusi penyerang import mereka Sony Norde, pada minit ke-52.
Gol pelawat jaringan Sony itu adalah hasil rembatan cantik dari dalam kotak penalti yang terus menewaskan penjaga gol Sabah FC, Rozaimie Rohim.
Sabah FC akan bertemu Melaka United sekali lagi pada pusingan kedua suku akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka, Khamis depan.