HomeIsu tempatanBelanjawan Negeri Sabah 2022 Prihatin Belia - Fairuz

Belanjawan Negeri Sabah 2022 Prihatin Belia – Fairuz

Read Time:2 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2022 bertemakan Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera yang dibentangkan oleh Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Hajiji Noor nyata mementingkan semua aspek dan melihat belia sebagai skop pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada pemulihan Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata pencapaian kutipan hasil sebanyak RM4.912 billion atau 9.6 peratus lebih tinggi merupakan antara satu aspek yang amat membanggakan dan membuktikan kesungguhan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita dimaklumkan bahawa ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri Sabah dan syukur kepada Tuhan kerana urusan dan perancangan untuk mengatur Belanjawan Negeri Sabah 2022 selesai dibentangkan dengan jayanya,” kata Fairuz.

Fairuz berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Jelas Fairuz, keprihatinan Kerajaan GRS kepada golongan belia dapat dilihat dari segi peruntukan untuk pembangunan modal insan dan belia dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2022.

“Sejumlah RM5.5 juta diperuntukkan untuk SEDCO yang antaranya adalah menyediakan Skim Usahawan Siswazah (SUS) dan Skim Usahawan Teknikal (SUK) untuk belia lepasan ijazah dari insititusi pengajian tinggi.

“Selain itu, sebanyak RM127.06 juta pula diperuntukkan untuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) serta RM23.87 juta untuk Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM), khas bertujuan untuk perihal mengendalikan kursus berkaitan teknologi dan kemahiran yang juga mensasarkan untuk golongan belia dan beliawanis serta menaiktaraf prasarana pusat latihan sedia ada serta latihan berkonsepkan keusahawanan yang pastinya akan menggilap potensi dan bakat usahawan muda,” katanya lagi.

Tambah Fairuz lagi, belia yang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi juga bakal memperoleh manfaat khasnya dalam bidang sains dan teknologi.

“Sebanyak RM55 juta juga disediakan bagi tujuan biasiswa belia-belia yang bakal melanjutkan pengajian mereka khas dalam bidang sains dan teknologi, sekaligus menggalakkan belia untuk lebih bermotivasi, menyambung pengajian dan memenuhi permintaan pasaran pekerjaan kelak.

“Kita juga amat berterima kasih kerana Kerajaan GRS turut prihatin dan Bantuan Khas Pendidikan dengan nilai RM10 juta turut disediakan melalui Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI).

“Banyak yang boleh dimanfaatkan oleh belia kita terutama yang melanjutkan pengajian, termasuk Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) yang diperkenalkan khas kepada anak-anak Sabah, yang lahir bermula tahun 2022 kelak, yang mana mereka akan menerima manfaat dengan dibukakan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak RM100,” tambah Fairuz.

Dalam pada itu, Fairuz turut memberitahu bahawa belanjawan yang dibentangkan itu juga sangat praktik dan bersifat inklusif dari semua perkara termasuk penyediaan dana sebanyak RM95.89 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS).

“Melalui peruntukan ini, terdapat peruntukan lain untuk persatuan-persatuan belia iaitu sebanyak RM5 juta, Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) sebanyak RM10 juta khas untuk membantu belia beliawanis menjana modal untuk memulakan perniagaan, serta peruntukan sebanyak RM52.02 juta kepada atlet untuk menyertai pertandingan dan kejohanan bertaraf dunia.

“Semua ini pastinya amat memberikan sinar baharu dan kegembiraan kepada golongan belia dan beliawanis kita di Sabah, sekaligus pembinaan modal insan kita akan semakin utuh serta maju ke depan, kelak,” ujar Fairuz lagi.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Agenda Membasmi Miskin Tegar Di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular