RANAU : Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi dibawahnya sentiasa bersedia membantu masyarakat khususnya ketika banjir dan pasca banjir termasuk di negeri ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Jonathan Yassin berkata, agensi seperti Polis dan RELA telah bertindak lebih awal membantu mangsa bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.
“Pihak KDN sejak awal lagi khususnya di peringkat bawah sudah bergerak membantu mangsa terlibat walaupun banyak yang mengatakan kita tidak datang cepat.
“Namun sebenarnya agensi dibawah KDN sudah bergerak lebih awal membantu mangsa terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Veteran Komando Malaysia Sabah (PVKMS) Kali Ke-6 2021 di Dewan Kilimu disini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Noor Khairi Abd Rahman.
Jonathan yang juga Ahli Parlimen Ranau berkata, sehingga kini agensi dibawah KDN masih bekerja keras membantu masyarakat khususnya mangsa yang terkesan akibat banjir di beberapa buah negeri di Semenanjung.
Sementara itu, beliau turut menyeru masyarakat khususnya penduduk di daerah ini untuk sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dengan perubahan cuaca.
Katanya, penduduk setempat juga diminta untuk sentiasa menjaga diri bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
Terdahulu, pada majlis itu, Jonathan turut mengumumkan bantuan RM10,000 kepada PVMKS bagi ahli persatuan memperkasakan lagi aktiviti persatuan tersebut.