HomeIsu tempatanMaritim Malaysia Tahan Bot Kargo Sarat Muatan Tong Gas LPG

Maritim Malaysia Tahan Bot Kargo Sarat Muatan Tong Gas LPG

Read Time:1 Minute, 40 Second

TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan sarat dengan muatan tong gas (LPG) di sekitar perairan Sungai Logpon disini sekitar jam 6.15 petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, anggota yang dalam penugasan Ops Sejahtera/Ops Cegah Pati Selatan mengesan pergerakan bot kargo terbabit dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah Sungai Logpon menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan awal mendapati bot kargo terbabit dikendalikan seorang tekong lelaki pemegang passport Indonesia berusia 36 tahun bersama empat penumpang lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 62 tahun.

“Semasa pemeriksaan awal, tekong bot terbabit telah mengemukakan permit barangan untuk keperluan pemborong di Pulau Sebatik, namun pemeriksaan fizikal mengesyaki bot terbabit membawa tong gas LPG yang diklasifikasikan sebagai barang kawalan tersebut secara berlebihan daripada jumlah yang ditetapkan di dalam permit,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Siva Kumar berkata, tekong serta kesemua penumpang, bot dan muatan ditahan serta diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot kargo itu turut menemukan sejumlah 700 tong gas LPG dengan berat 14 kilogram setiap tong dan telah melebihi jumlah yang dibenarkan di dalam permit yang diluluskan oleh KPDNHEP iaitu sebanyak 260 tong sahaja.

“Zon Maritim Tawau akan membuat siasatan lanjut tentang kemungkinan cubaan untuk menyeludup keluar barang kawalan tersebut ke negara jiran berikutan kedudukan Pulau Sebatik yang hampir dengan sempadan Malaysia-Indonesia.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM167 ribu,” katanya.

Sementara itu, Siva Kumar berkata, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Katanya, kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular