KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi di pasar besar dan pasar ikan di sini pada Khamis.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip dalam kenyataannya berkata, kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi di Pasar Besar dan Pasar Ikan Kota Kinabalu bermula jam 9 pagi hari ini dilaksanakan oleh DBKK melalui Jabatan Pelesenan (16 anggota), Jabatan Penguatkuasaan (10 anggota), Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (8 anggota) dan Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam (1 anggota) serta agensi luar dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah (10 anggota).
“Pembersihan dan disinfeksi ini bertujuan untuk memastikan pasar-pasar yang merupakan lokasi tumpuan awam ini sentiasa bersih dan terkawal daripada wabak Covid-19. Kerja-kerja pembersihan meliputi kawasan sekitar pasar termasuklah kawasan letak kereta, kaki lima dan jalan raya.
“Kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi ini siap dilaksanakan dengan jayanya pada jam 1.00 petang dengan kerjasama semua pihak terlibat dan juga para peniaga pasar yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada acara-acara anjuran DBKK demi kebaikan dan kesejahteraan bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.
Turut hadir Ketua Pengarah DBKK Junainah Abbie dan Pengarah Jabatan Pelesenan DBKK Lizawana Matin bagi meninjau kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi tersebut.