KOTA KINABALU – – Beberapa pemimpin Pemuda PKR (AMK) menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ketika kedua-dua parti itu mengadakan rundingan pembahagian kerusi bagi PRN Johor.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimin menyifatkan Muda sebagai biadab kerana “membawa politik kotor” dan menggesa PKR memutuskan kerjasama dengan parti itu.
“Saya pasti Angkatan Muda Keadilan tidak akan membawa politik kotor seperti yang dilakukan Muda hari ini kerana ini bukan politik yang kita ingin didik kepada generasi kepimpinan negara akan datang”
“Saya tidak yakin Pemuda DAP dan Pemuda Amanah akan respon terhadap kebiadapan Muda namun bagi Angkatan Muda Keadilan, adalah lebih baik PKR batalkan kerjasama dengan Muda.
“Jika dalam masa rundingan kerusi sedang berjalan mereka boleh bersikap begini, bagaimana pula bila mereka telah mendapat kerusi? Fitnah apa lagi mereka akan tabur kepada PKR dan Pakatan Harapan?” katanya seperti yang dilaporkan portal Malaysiakini hari ini.
Razeef berkata, sebelum ini Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuat naik hantaran di media sosial dengan mendakwa bekas Adun Ulu Tiram dari PKR, S Gopalakrishnan sebagai tidak amanah.
Bagaimanapun katanya, Syed Saddiq kemudian memadamkan hantaran itu dan membuat permohonan maaf.
Razeef berkata, setelah mendapat enam kerusi dari DAP dan Amanah, sekali lagi Muda menunjukkan kebiadapan mereka apabila memuat naik status “Hentikan Korupsi” dengan meletakkan logo PKR dan PH pada poster tersebut di laman Facebook Muda Kedah dan laman Twitter Parti Muda Johor.
Katanya, tindakan itu seolah-olah menunjukkan PKR dan PH mengamalkan rasuah.
“Dengan sikap biadap dan angkuh yang ditonjolkan Muda, adalah lebih baik Pakatan Harapan fokus memperkukuhkan jentera serta tandingi kerusi yang telah diagihkan antara komponen Pakatan Harapan.
“Bagi Angkatan Muda Keadilan, kita punya maruah dan kita tidak perlu serahkan kerusi kepada sebuah parti yang menghina PKR,” katanya.
Dalam pada itu Razeef juga menyatakan rasa kesal terhadap Amanah kerana melepaskan kerusi Puteri Wangsa kepada Muda.
Katanya, selepas bertegang urat dalam isu kerusi berkenaan, PKR akhirnya melepaskan kerusi “boleh menang” tersebut kepada Amanah.
Bagaimanapun katanya, amat mengejutkan apabila dengan mudah kerusi tersebut diserahkan oleh Amanah kepada Muda.
“Namun selepas penghinaan yang dilakukan Muda terhadap Pakatan Harapan, adakah Amanah masih tunduk kepada Muda dan menghalalkan kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan sebelum ini dengan majoriti lebih 24,000?” soalnya.