HomeIsu tempatanLengkapkan diri dengan ilmu ICT - Jahid

Lengkapkan diri dengan ilmu ICT – Jahid

Read Time:1 Minute, 25 Second

TAMPARULI: Masyarakat luar bandar digesa untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, pengetahuan dalam ICT sangat penting untuk dipelajari, sejajar dengan peredaran zaman yang pesat dengan ledakan teknologi.

“Pendedahan ilmu ICT ini amat perlu bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan komunikasi yang semakin pesat.

“Dalam masa yang sama juga mampu memudahkan segala urusan seharian di kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Kursus Mobile ICT anjuran Pusat e-Desa Topokon dan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Wangkod, di Dewan Muhibbah Kampung Wangkod, disini semalam.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, penduduk kampung kini banyak melakukan urusan secara dalam talian termasuk membeli barangan, perbankan, membayar bil, belajar, dan pendaftaran di laman sesawang kerajaan.

“Pengetahuan mengenai ICT mungkin lebih mudah diakses di bandar, namun sekiranya anda tinggal lebih jauh dari kawasan tumpuan populasi, akses ICT menjadi semakin sukar diperolehi,” katanya.

Justeru, katanya, kursus seumpama itu merupakan peluang kepada penduduk tanpa mengira umur untuk mendalami ilmu asas mengenai ICT.

Sementara itu, Jahid berkata, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang serius untuk menerapkan budaya ICT kepada masyarakat, bagi mengurangkan jurang digital.

“Ini selaras dengan usaha mewujudkan pembangunan yang lestari terhadap penggunaan kemudahan ICT di kawasan luar bandar.

“Peranan e-Desa Topokon sebagai pusat internet juga merupakan medium komunikasi komuniti di kawasan tersebut,” katanya.

Katanya, e-Desa juga berperanan mengurangkan gejala negatif dalam kalangan belia dengan bertindak sebagai pusat untuk menimba ilmu dan mendapatkan maklumat terkini serta isu-isu semasa.

Tambahnya, e-Desa juga telah meluaskan fungsi mereka dengan memasuki kampung-kampung untuk mengadakan kursus seumpama ini.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular