CYBERJAYA – Mayat seorang lelaki tanpa pakaian yang disyaki meninggal dunia lebih 24 jam sebelum itu ditemui di dalam Sungai Jinjang berhampiran Batu Caves petang semalam.
Bagaimanapun, mayat yang dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an itu tidak dapat dikenal pasti identitinya, menurut polis.
Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada 3.25 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Jinjang dikerah menjalankan siasatan di lokasi kejadian, iaitu di Sungai Jinjang berhampiran Flat Taman Sri Murni Fasa 1, Batu Caves.
Pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang turut hadir untuk membantu mengangkat mayat naik ke atas tebing, katanya.
“Siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah,” katanya semalam menurut laporan Harian Metro.
Mangsa dirujuk kepada pihak Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya, tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-4048 2206, polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau pegawai penyiasat Sarjan Rosdi Yusof di Balai Polis Jinjang di talian 03-6257 2222/012-6580597.