Oleh NORMIMIE DIUN
SIPITANG: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir dari jambatan dan jatuh ke dalam sungai ketika pergi berhari raya bersama keluarga di Kg Banting dekat sini pada Sabtu. (7 Mei)
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 12.20 tengahari semalam, mengenai kejadian melibatkan seorang remaja lelaki terjatuh ke dalam sungai itu.
Katanya, menurut pemanggil, mangsa dikenali sebagai Iskandar Naim Duali tergelincir dari jambatan dan terjatuh ke dalam sungai semasa pergi berhari raya bersama keluarga.
“Mangsa yang berusia 16 tahun tu dilaporkan telah dijumpai oleh ahli keluarga mangsa di sekitar kawasan lokasi mangsa jatuh pada jam 1.21 petang.
“Pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital,” kata kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis dan operasi mencari ditamatkan pada 2.03 petang.