HomeIsu tempatanUMS, Sukaseni tandatangani LoI tingkat kerjasama bidang seni dan keusahawanan

UMS, Sukaseni tandatangani LoI tingkat kerjasama bidang seni dan keusahawanan

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Surat Niat (LoI) dengan Persatuan Sukaseni, Kuala Lumpur bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai industri seni dan kraf serta meningkatkan kemahiran dalam bidang keusahawanan.

Majlis menandatangani LoI itu disempurnakan Pengarah PKPKP UMS, Dr Soon Singh Bikar Singh dan Pengerusi Sukaseni, Rafie Syazwan Arpandi dengan disaksikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr. Raman Noordin.

Raman (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Rafie (tepi kanan).

Menurut Soon, LoI berkenaan adalah kesinambungan daripada hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua belah pihak melalui penglibatan bersama dalam beberapa program sebelum ini.

“Impak yang paling penting ialah LoI ini memberi peluang kepada pelajar UMS untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Misalnya pelajar di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) bukan sahaja kaya dengan pelbagai produk kesenian tetapi juga berbakat.

“Kita hendak perkembangkan bakat ini dan mereka menjadi seorang usahawan dalam bidang kesenian,” katanya.

Soon berkata demikian ketika ditemui pada majlis tersebut yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Eksekutif Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS, di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rafie memaklumkan LoI itu ditandatangani sebagai salah satu usaha Sukaseni untuk membantu para belia khususnya para graduan dalam mendepani krisis pekerjaan pada era pasca pandemik Covid-19.

“Seperti yang kita sedia maklum,  para graduan pada ketika ini amat susah mencari pekerjaan selepas seluruh dunia termasuk di negara ini berdepan dengan Covid-19 selama dua tahun.

“Justeru, inisiatif kami untuk menandatangani LoI ini mungkin sedikit sebanyak membantu usahawan pelajar ini mengetengahkan produk mereka ke luar negeri,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular