HomeUtamaPasukan petugas ditubuhkan tangani isu kerosakan jalan Telupid-Beluran

Pasukan petugas ditubuhkan tangani isu kerosakan jalan Telupid-Beluran

Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU : Satu pasukan petugas ditubuhkan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menangani isu kerosakan jalan raya di Telupid-Beluran Sandakan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pasukan petugas yang akan dipengerusikan beliau itu akan mencari kaedah penyelesaian segera bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna terjamin.

“Semalam YB Menteri telah mengumumkan penubuhan Task Force bagi melihat masalah jalan raya yang kita lihat hasil dari lawatan jelajah Roadpedia khususnya di kawasan Telupid-Beluran.

“Jadi untuk menangani masalah ini, kita telah menubuhkan Task Force dimana kita akan melihat jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah ini dan memastikan jalan berkenaan akan lebih selamat dan selesa untuk pada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mendengar taklimat ABM Sabah sempena program FTRoadoedia Sabah, di sini, hari ini.

Arthur berkata, pasukan petugas itu akan dianggotai oleh pegawai KKR, agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah; Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ); syarikat konsesi serta agensi terlibat dalam pembinan dan penyelenggaran jalan raya.

“Kita akan mencari kaedah yang lebih menyeluruh bagi memastikan bahawa jalan berkenaan sementara menunggu pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo boleh dinikmati oleh pengguna dengan keadaan selamat dan selesa,” katanya.

Semalam Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan rombongan melakukan jelajah FTRoadpedia Sabah dengan perjalanan dari Kundasang ke Kota Kinabalu bagi meninjau perkembangan semasa projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Rombongan berkenaan memulakan tinjauan di lokasi kerja pembaikan cerun di KM88.0 Jalan Kota Kinabalu – Sandakan Ranau Sabah dimana pada 20 Januari 2021 telah berlaku kejadian tanah runtuh di tempat letak kenderaan awam simpang masuk ke Taman Negara Kinabalu .

Pembaikan sementara telah dilaksanakan dan siap 100 peratus dengan kos RM4.5 juta dan permohonan bagi pembaikan kekal telah dipohon dalam Rolling Paln 3, Rancangan Malaysia ke-12 sebanyak RM36.1 juta.

FTRoadpedia Sabah diteruskan dengan tinjauan ke Pakej Kerja 8 iaitu dari Sepanggar ke bulatan Berunggis sepanjang 11.7 km, Pakej Kerja 7, Inanam ke Sepanggar sepanjang 9.9km dan Pakej Kerja 6, Putatan ke Inanam sepanjang 19.6km.

Lokasi terakhir tinjauan adalah di Pakej Kerja 5 iaitu dari Donggongon ke Simpang Jalan Spur. Pakej Kerja ini adalah pakej kerja pertama yang dilaksanakan iaitu bermula pada 31 Julai 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei 2022.

Menurut kenyataan KKR, secara keseluruhan status kemajuan terkini bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang merupakan projek Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak 57 peratus melibatkan 15 Pakej Kerja yang telah dibuat pelantikan kontraktor untuk kerja pembinaan.

Sewaktu kaedah asal pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah melalui Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner – PDP) sebanyak 35 pakej kerja telah dipersetujui.

Namun begitu setelah penamatan PDP, hanya 15 Pakej Kerja diteruskan pelaksanaannya secara konvensional, di mana Jabatan Kerja Raya Sabah bertindak sebagai Pegawai Penguasa (Superintending Officer – SO) bagi memantau pelaksanaan projek.

Bagi pelaksanaan baki 19 Pakej Kerja, kelulusan prinsip telah diperolehi berdasarkan Mesyuarat Kabinet pada 4 Mac 2022 untuk dilaksanakan dengan tempoh pembinaan selama 5 tahun, bagi melengkapkan keseluruhan 35 Pakej Kerja Fasa 1 projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Angin kencang landa Semporna, 35 rumah dan 20 kenderaan terjejas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular