RANAU : Masyarakat khususnya di negeri ini digalakkan untuk melaksanakan aktiviti penanaman termasuk tanaman padi bagi menangani masalah kenaikan harga barangan selain kekurangan bekalan makanan harian di negara ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah ini khususnya mempunyai tanah yang subur dan rakyat perlu mengambil peluang bagi menambah sumber pendapatan harian selain menampung keperluan bekalan.
“Baru-baru ini Kabinet mengumumkan bahawa Kerajaan Sabah bercadang untuk menghidupkan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) yang bertujuan untuk menggalakkan pembukaan tanah yang lebih luas untuk tujuan penanaman padi.
“Untuk makluman, sebanyak 75 peratus beras kita adalah diimport daripada luar negeri. Sekiranya berlaku suatu perkara yang tidak diingini, kita terpaksa makan apa sahaja yang ada kerana kita tidak dapat mengimport beras dari luar negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Hari Raya, Tadau Kaamatan dan Kesyukuran Pelantikan Pemegang Adat serta Pemimpin Masyarakat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan di sini kelmarin.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, konflik yang berlaku di beberapa buah negara luar turut menjadi antara faktor kepada kenaikan harga kos khususnya yang melibatkan pengangkutan.
“Harga barangan seperti beras dan keperluan lain yang naik pada masa ini adalah disebabkan kos tambang barangan telah melambung sehingga 200 peratus disebabkan tidak banyak kapal yang datang ke Sabah.
“Cara menentukan kos pengangkutan bagi barang yang hendak dihantar ke Sabah adalah berdasarkan jumlah dan apa jenis barangan yang hendak dibawa ke tempat mereka.
“Kebiasaannya, banyak barangan yang dibawa masuk ke Sabah, tetapi amat sedikit barangan yang dibawa pergi (eksport). Sebab itu harga barang menjadi mahal. Selain itu juga masalah pandemik turut menjadi antara punca,” katanya.
Dalam pada itu, Masidi berkata, Kerajaan tidak pernah menganiaya rakyat dimana terdapat perkara yang diluar daripada kawalan pemerintah.
Katanya, harga barangan bukanlah ditentukan oleh Kerajaan, tetapi ditentukan oleh keadaan semasa pasaran pada waktu itu.
“Masa depan Ranau bergantung kepada sikap penduduk itu sendiri dan bukan Kerajaan. Kerajaan cuma boleh membantu. Kerajaan boleh memberi peruntukan, tetapi orang Ranau sendiri yang akan menentukan bagaimana pembangunan itu nanti.
“Sekarang adalah masa untuk masa bekerja dan bukan masa berpolitik. Politik sudah berlalu pada tahun 2020 sewaktu pilihanraya Negeri. Setiap orang perlu bekerja keras, dan adalah diharapkan menjadi aspirasi setiap penduduk Ranau untuk memajukan Ranau.
“Semoga satu hari nanti kita boleh berkata dengan bangga bahawa kita pernah menyumbang sesuatu dalam menjadikan Ranau lebih maju,” katanya.