KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan lagi infrastuktur di kawasan pedalaman di negeri ini khususnya yang membabitkan liputan jaringan telekomunikasi.
Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, Kerajaan turut menyedari bahawa liputan jaringan telekomunikasi yang kurang merupakan antara masalah yang dihadapi rakyat yang menyebabkan capaian internet turut menjadi lemah.
“Justeru, saya menyeru agar pihak institusi pengajian tinggi boleh sama-sama memainkan peranan untuk turun ke kawasan pedalaman dalam mengatasi masalah jurang digital dengan cara mengadakan program berkaitan penggunaan internet dan teknologi.
“Kita mahu setiap peringkat umur tidak kira tua sehingga remaja mempunyai pengetahuan dalam bidang digital dan penggunaan aplikasi secara dalam talian seiring dengan slogan kata negeri kita, Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Inovasi Pendidikan Tinggi Islam Sabah (KIPTIS) 2022 Institut Pengajian Islam dan Dakwah (IPDAS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini semalam.
Arifin berkata, dengan adanya literasi internet di peringkat awal akan dapat membantu anak-anak muda yang menyambung pelajaran mereka di institusi tinggi menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang.
Katanya, ini merupakan salah satu cabaran pihak institusi pendidikan tinggi sendiri sama ada pelajar mahupun kakitangan dan pensyarah dalam mengadaptasikan penggunaan internet dan aplikasi pintar dalam pembelajaran dan pengajaran serta pengurusan pentadbiran.
“Pelan Pembangunan SMJ juga menekankan pembangunan Modal Insan. Saya yakin dan percaya bahawa kejayaan pembangunan Modal Insan bermula dengan kecemerlangan kepimpinan di institusi pendidikan di semua peringkat.
“Kesediaan para pemimpin di Institusi Pendidikan mengadaptasi gaya kepimpinan digital dan menerima teknologi sebagai salah satu wasilah untuk memperkukuhkan proses pendidikan akan menyegerakan proses pembangunan modal insan yang unggul,” katanya.
Sementara itu, Arifin turut mencadangkan agar program KIPTIS dapat diadakan pada setiap tahun yang akan menjadi platform untuk mempertemukan kepimpinan dan warga kerja Pemberi Pendidikan Tinggi di Sabah.
Katanya, sama ada dari aliran akademik atau TVET untuk berkongsi hasil inovasi kreatif setiap institusi agar proses peningkatan kualiti pendidikan tinggi di era digital di semua PPT dan pusat-pusat kemahiran akan bergerak dengan lebih pantas khususnya di Negeri Sabah.