CYBERJAYA — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meluluskan penggabungan Digi.Com Bhd (Digi) dan Celcom Axiata Bhd (Celcom).
Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata, penggabungan itu akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih terbesar di negara ini kerana Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan kedua dan ketiga terbesar ketika ini.
SKMM berkata, pihaknya mengeluarkan pernyataan isu kepada pemohon selaras garis panduan penggabungan dan pengambilalihan bertarikh 17 Mei 2019 bagi menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau mungkin mengurangkan persaingan ketara dalam pasaran komunikasi.
“Justeru, pemohon mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu persaingan yang diketengahkan oleh SKMM di dalam pernyataan isu.
“SKMM telah mempertimbangkan komitmen ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini,” menurut kenyataan itu.
SKMM secara rasmi menerima cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom pada 24 Nov tahun lalu.