KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin mahu kadar upah Poter Gunung Kinabalu diselaraskan mengikut kadar Taman Taman Sabah.
Jafry berkata, kadar upah untuk Poter mengangkat barang pendaki gunung Kinabalu oleh Taman Taman Sabah ketika ini adalah Rm13.00 per Kilogram dengan minimum 10 Kilogram.
Katanya, menurut data laporan daripada Taman-Taman Sabah, secara purata pendapatan seorang poter pendaki gunung Kinabalu dengan pendakian sebanyak 12 kali sebulan dengan adalah RM3,540.
“Manakala, kadar upah Poter mengangkat barang keperluan perkhidmatan untuk penginapan dan restoran, adalah Rm5.00 per Kilogram yang dikendalikan oleh Mountain Torq dan Sutera Sanctuary Lodge.
“Secara purata, berat barang yang diangkat seorang Poter sehari adalah 35 KG sekali mendaki dan sekiranya poter mendaki sebanyak 15 kali sebulan, purata pendapatan adalah RM2625. Walau bagaimanapun kekerapan mendaki adalah bergantung kepada kerajinan seorang Poter,” jelasnya.
Menurut Jafry, terkini kadar upah yang diberikan oleh Taman Taman Sabah kepada Poter mengangkat barang keperluan penginapan adalah RM5.50 per kilogram.
Oleh itu, beliau mencadangkan agar Sutera Sanctuary Lodge dan Mountain Torq juga dapat mempertimbangkan untuk selaraskan kadar upah yang sama dengan Taman Taman Sabah.
Beliau berkata demikian dalam satu sesi dialog bersama Taman-Taman Sabah, Sutera Sanctuary Lodge, Mountain Torq, Persatuan Malim Gunung dan juga Persatuan Poter Gunung Kinabalu semalam.
Tambah Jafry, untuk kadar upah bagi malim gunung ketika ini adalah RM230 untuk dua hari satu malam. Purata seorang malim gunung mengiring pendaki dalam sebulan adalah sebanyak 13 kali dengan anggaran pendapatan Rm2990.
Namun jelasnya, kadar upah poter dan juga malim gunung itu akan dibincangkan dari semasa ke semasa agar mereka juga mampu meningkatkan keseimbangan kerja-kehidupan dan mempunyai standard kehidupan yang lebih baik.
“Upah mereka perlu sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan khususnya kepada pendaki Gunung Kinabalu.
“Walau bagaimanapun, saya mahu semua poter dan malim juga memberikan perkhidmatan terbaik seiring dengan imej Gunung Kinabalu yang bakal mendapat pengiktirafan sebagai tapak UNESCO Global Geopark,” tegasnya.
Sementara itu, bantuan kewangan secara “One Off” sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Malim Gunung dan Persatuan Poter Gunung Kinabalu juga telah diluluskan.
Beliau berharap ia dapat membantu persatuan yang terjejas ekoran pandemik Covid-19, serta menampung kos pengurusan persatuan yang baru sahaja bermula secara aktif selepas sempadan negara mulai dibuka April lalu.
Dalam pada itu, Kementerian turut mengesyorkan agar semua Poter dan Malim gunung memakai uniform atau baju seragam khas untuk menaikkan lagi imej mereka dimata pelancong selain memberi gambaran terbaik khususnya ketika menjalankan tugasan mereka.
Katanya, sebagai permulaan, Kementerian bersama Taman Taman Sabah akan membantu persatuan untuk sama-sama mencari dana bagi menampung kos baju seragam tersebut.
Jafry berharap dengan pengumuman ini, ia akan memberikan semangat serta membolehkan Malim gunung dan Poter melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik.