HomeUtamaSatelit 3D MEASAT bakal beri kelajuan setara kapasiti 4G

Satelit 3D MEASAT bakal beri kelajuan setara kapasiti 4G

Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Pelancaran Satelit 3D MEASAT yang berjaya disempurnakan pada 22 Jun lalu di Kourou French Guiana bakal memberi pengalaman kelajuan 10 kali ganda kepada semua pelanggan khususnya masyarakat luar bandar yang menggunakan perkhidmatan internet MEASAT.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, kelajuan sekurang-kurangnya 100 mbps berbanding kelajuan sebelum ini adalah setara dengan kapasiti 4G.

“Usaha memperkasa kesalinghubungan internet dan ekonomi digital luar bandar melalui 33 E-Desa (milik Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi – KSTI) dan 118 PEDI (milik MCMC) akan dapat diperkasakan.

“Setakat in pihak MCMC telah memasang 138 ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) dan KSTI memasang 24 VSAT di Sabah. Pemasangan tambahan 300 VSAT akan mengurangkan jurang digital luar bandar secara drastik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Yakub berkata, kadar liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk pula telah mencapai 87 peratus dan akan mencapai tahap 90 peratus pada penghujung 2022.

Katanya, negeri ini dijangka akan mencapai tahap hampir 100 peratus pada penghujung 2025.

“Kos penggunaan data akan berkurangan apabila satelit Measat 3D ini berfungsi sepenuhnya dan secara tidak langsung akan mengurangkan beban masyarakat luar bandar dalam menggunakan internet melalui teknologi VSAT.

“Pihak kementerian juga telah membawa syor penubuhan Sabah Multimedia Authority. Cadangan penubuhan Sabah Multimedia Authority ini adalah bagi memastikan industri komunikasi dapat diselaraskan sebaiknya di Sabah.

“Pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) turut menyambut baik cadangan ini dan perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Yakub berkata, kerjasama seperti itu akan diteruskan di peringkat nasional dan antarabangsa bagi memastikan Sabah mampu memacu pembudayaan Sains,Teknologi dan Inovasi (STI) pada tahap yang lebih tinggi di masa akan datang.

Katanya,  ia juga merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan talent pool yang berdaya saing bagi menyokong pembangunan modal insan secara holistik.

Terdahulu, pada majlis pelancaran Satelit 3D MEASAT itu, Yakub telah diberi pengiktirafan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menjadi wakil kerajaan Sabah untuk  sama-sama berada di lokasi untuk menyaksikan sendiri pelancaran 3D Satelit ini.

Ini bakal membantu mempercepatkan kesalinghubungan internet di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai liputan khususnya di luar bandar Sabah.

Selain itu, ini juga menjadi sebahagian daripada usaha KSTI dalam memartabatkan pembudayaan STI di Sabah.

Pihak KSTI melakar sejarah menjadi kementerian pertama dari Sabah yang pernah mendapat jemputan seumpamanya sebagai delegasi negara.

Ini membukti hubungan baik Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam usaha memastikan manfaat perkhidmatan internet mampu dinikmati di setiap lapisan masyarakat.

Di samping itu, pihak Agensi Angkasa Negara (MYSA) juga telah bersetuju untuk melebarkan sayap ke Sabah bagi memastikan penglibatan lebih ramai anak Sabah dalam bidang aero angkasa.

Komitmen Ketua Pengarah MYSA Ali Kamil Napiah bakal merubah lanskap pembudayaan dan perkembangan STI di Sabah pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

ADUN Kiulu wujud Tabung Keusahawanan & Kepimpinan Belia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular