BELURAN: Tiga mangsa dilaporkan melecur selepas sebuah kapal pengangkut minyak berisi petrol terbakar di Jeti Paitan, dekat sini, petang tadi.
Menurut laporan BH Online, kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira jam 5.10 petang ketika kapal berkenaan dalam perjalanan dari Paitan menuju Pulau Jambongan.
Berdasarkan maklumat, kapal berkenaan tiba-tiba terbakar sebelum kru menyelamatkan diri dengan terjun ke sungai.
Bagaimanapun tiga kru dilaporkan melecur, namun setakat ini maklumat mengenai identiti mangsa termasuk status kecederaan dialami.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Machel berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.15 petang sebelum tiga anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Lokasi kejadian itu terletak kira-kira 173 kilometer dari BBP Beluran.
“Sehingga jam 7.10 malam, pasukan bomba masih dalam perjalanan ke lokasi disebabkan keadaan cuaca dan jalan raya yang tidak baik,” katanya memaklumkan maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – BH