HomeIsu tempatanEmpat PATI bersembunyi di Kilang Batu ditahan

Empat PATI bersembunyi di Kilang Batu ditahan

Read Time:1 Minute, 55 Second

TAWAU: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia hasil maklumat yang disalurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Payung dekat sini.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan MK ATB 2 hari ini, anggota JKKK memaklumkan bahawa mereka telah melihat empat orang lelaki dewasa yang tidak dikenali dan dalam keadaan mencurigakan berada di sekitar Kampung Batu Payung pada jam 2.45 pagi tadi. (24 Julai)

Bertindak atas maklumat yang disalurkan, Tim QRF telah melaksanakan rondaan dan telah berjaya mengesan kesemua suspek sedang bersembunyi di sekitar kawasan Kilang Batu di Kampung Batu Payung. Tim Ronda telah bertindak menahan dan membuat pemeriksaan awal dokumen terhadap kesemua suspek.

Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua suspek merupakan PATI yang berasal dari Indonesia dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta tiada permit kerja dan tiada cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah serta berada di Malaysia secara haram.

Mereka terdiri daripada empat lelaki dewasa berusia antara 18 hingga 24 tahun, serta tiada penemuan barang-barang terlarang dan masuk ke Sabah bertujuan untuk bekerja.

Kesemua PATI tersebut dibawa ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Sri Indah, Tawau
untuk siasatan dan tindakan lanjut Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Dalam pada itu, Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad menzahirkan ucapan tahniah kepada semua anggota bertugas di POWB ATB 2, Tim Ronda Pos Tinagat, PDRM, Imigresen dan JKKK atas kejayaan tersebut.

“Kerjasama yang erat melalui perkongsian maklumat secara lebih konstruktif di antara agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam aturgerak operasi di Perairan Pantai Timur Sabah membuktikan fungsi dan peranan pasukan keselamatan dalam menjamin keselamatan dan kemakmuran Perairan Pantai Timur Sabah sentiasa berada ditahap yang terbaik.

“ATB 2 akan sentiasa mempertingkatkan jaringan kerjasama.secara berterusan dengan pelbagai agensi dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan dari terus berlaku,” katanya.

Beliau turut menegaskan ATB 2 akan sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan operasi yang optimum melalui aturgerak kelengkapan berteknologi tinggi dalam mengesan sebarang pencerobohan di perairan negara pada waktu siang dan malam secara berterusan sekaligus tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan serta ancaman membabitkan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Pantai Timur Sabah.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular