HomeUtamaPerlu ada had tempoh masa jawatan PM - Khairul Firdaus

Perlu ada had tempoh masa jawatan PM – Khairul Firdaus

Read Time:2 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, tempoh masa bagi jawatan Perdana Menteri (PM) perlu mempunyai had bagi mengelak berlaku masalah salah guna kuasa.

“Jawatan PM perlu ada had, sebagaimana di Sabah, negeri sudah mencadangkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa jawatan Ketua Menteri adalah bagi dua penggal.

“Hal yang sama juga perlu bagi jawatan PM, kerana PM dan KM adalah pemimpin tertinggi dalam negara dan negeri, wajar jawatan pemimpin tertinggi ini ada limitasi masanya kerana kita mahu mengelakkan salah guna kuasa, kualiti perkhidmatan kepada rakyat perlu dijaga dan diutamakan.

“Jika tidak ada had, tidak ada limit, sudah tentu kepimpinan dan idea-idea baharu dari pemimpin-pemimpin baharu akan terbantut, terhalang, tidak dapat direalisasikan dan lebih teruk lagi, pelbagai impak negatif turut akan timbul kelak yang mana ianya akan memburukkan nama dan sistem pemerintahan dalam negara kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Khairul Firdaus, penetapan had bagi tempoh masa memegang sesuatu jawatan dalam pemerintahan juga perlu kerana ia dilihat lebih pragmatik.

“Ini akan lebih pragmatik untuk negara, lebih praktikal dan lebih realistik kerana secara logiknya, seseorang akan mempunyai tempoh tertentu dalam mengendalikan atau melakukan sesuatu dan akan ada masanya apabila prestasi atau hasil akan mulai terjejas apabila sudah melepasi tempoh masa yang terlalu lama.

“Misalnya aspek pemerintahan, pegang jawatan, apabila terlalu lama seseorang itu berada pada posisi tertentu, pasti akan timbul masalah seperti salah laku, biarpun mungkin ada juga yang konsisten dan kekal cemerlang dalam memikul tanggungjawab yang dipegang,” jelasnya.

Tambah Khairul Firdaus lagi, rakyat secara realitinya kini susah dan agak rumit untuk meletakkan kepercayaan kepada ahli politik yang memegang jawatan dan kuasa besar.

“Dalam negara kita timbul pelbagai isu dan kita sedar adakalanya ini diluar kawalan, misalnya kini usaha kita untuk bangkit dan pulihkan ekonomi kita selepas jatuh dan merosot teruk akibat daripada pandemik Covid-19.

“Namun, dalam masa yang sama, pelbagai tragedi dan peristiwa melibatkan aktor politik kita juga berlaku, di mana ini menjadi satu kebimbangan kepada rakyat di akar umbi.

“Rakyat susah, bergelut untuk memperoleh pendapatan, sesuap nasi untuk keluarga, tetapi aktor politik seakan-akan tidak terjejas, inilah yang saya nyatakan tadi ada masa dan ada had yang perlu ditetapkan untuk sesuatu tempoh bagi kepimpinan, kita ingin satu mekanisme wujud bagi mengekang permasalahan sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus juga berkata, andai tidak ada tindakan atau mekanisme baharu dilaksanakan dan dijalankan, tidak mustahil akan timbul pelbagai masalah di masa depan yang pastinya beban kepada negara dan rakyat.

“Kalau tidak dilaksanakan tempoh had masa dalam jawatan yang dipegang oleh pemimpin tertinggi, tidak mustahil kelak, rakyat kita terkena tempias lebih parah.

“Kita perlu bertindak segera turun ke bawah, lihat dan dengar keluh kesah rakyat, banyak perkara perlu diselesaikan dan dilakukan untuk rakyat kita secara keseluruhan dan bukan masanya lagi untuk kita dengar dan menjadi topik perbualan negara-negara luar, tentang keburukan dan masalah politik negara yang seolah-olah tidak mengendahkan masalah rakyat,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular