HomeUtamaKekalkan keamanan dalam apa juga keadaan - Hajiji

Kekalkan keamanan dalam apa juga keadaan – Hajiji

Read Time:2 Minute, 24 Second

SANDAKAN: Sambutan Hari Peringatan Sandakan adalah peluang untuk kita terus menghayati bahawa kita berkongsi keinginan demi keamanan sesungguhnya peperangan itu tidak melakukan apa-apa selain memusnahkan kehidupan manusia.

“Apabila kita bercakap, pada masa ini, peperangan berlaku di di beberapa tempat di seluruh dunia, anak-anak muda lelaki dan perempuan telah dihantar ke medan perang dan kita semua tahu akibat dari peperangan itu. Justeru, kami memberikan penghormatan istimewa kepada semua dan mendoakan mereka selamat kembali kepada orang tersayang,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya sempena sambutan Hari Peringatan Sandakan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji turu gembira kerana Sandakan Memorial Park telah memenuhi tujuan penubuhannya dengan baik.

“Ia membuktikan usaha bersepadu Kerajaan Australia dan Negeri Sabah serta Persatuan Veteran, Returned and Services League of Australia (RSL) dan Majlis Perbandaran Sandakan yang telah membawa Memorial Park ini membuahkan hasil.

“Kita dapat melihat ramai yang kembali ke sini seperti rombongan khas, pelawat dan terutamanya ahli keluarga yang melancong ke Sandakan untuk memberi penghormatan kepada orang tersayang mereka yang hanya tinggal kenangan,” katanya.

Hajiji berkata, Hari Peringatan Sandakan adalah hari untuk mengingati tentera bersekutu yang berani dan orang awam tempatan yang telah terkorban pada ketika itu.

Beliau berkata 77 tahun lalu kira-kira 2,400 tawanan perang Australia dan British dipenjarakan di Kem Tawanan Perang Sandakan tidak jauh dari Memorial Park.

“Separuh daripada 1,066 terpaksa melakukan perjalanan berbahaya ke Ranau lebih 260km dari di sini turut terkorban dalam tiga Perarakan Kematian yang terkenal ke Ranau dan hanya enam yang terselamat dan masih hidup untuk menceritakan betapa ngeri dan kekejaman yang telah mereka alami manakala selebihnya mati dalam Kem Ranau dan Sandakan.

“Perkongsian sejarah perang antara Australia, Britain dan Sabah ini adalah peringatan untuk tidak hanya pengorbanan dan ketabahan mereka yang terkorban tetapi juga kehilangan dan kerinduan keluarga yang mereka tinggalkan.

“Hari ini, kami menyertai ahli keluarga dan rakan-rakan untuk memperingati kehilangan tragis ini. Seperti yang kita ketahui ketika itu, tentera-tentera yang datang jauh dari tanah air mereka ke Borneo Utara sanggup berkorban melawan musuh untuk melindungi kita dan tanah ini.

“Saya berbesar hati atas peluang ini untuk mengucapkan sepatah dua kata untuk menghormati mereka yang telah memberi kehidupan mereka untuk kita semua … Kami bersyukur dan kami akan sentiasa mengingati mereka untuk pengorbanan mereka ini. Mereka menyerahkan nyawa mereka supaya kami dapat hidup,” katanya.

Ketua Menteri turut memuji usaha Majlis Perbandaran Sandakan dan Lembaga Pelancongan Sabah serta jawatankuasa penganjur atas dedikasi berterusan mereka untuk menjadi tuan rumah Hari Peringatan Sandakan.

Antara yang hadir ialah Menteri Hal Ehwal Veteran Australia dan Menteri Kakitangan Pertahanan, Matt Keogh, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Dr Justin Lee, Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Jamili Nais dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sandakan, Benedict Asmat.

RELATED ARTICLES
Utama

Tangani isu pelanggaran sempadan maritim dengan berhemah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular