HomeSukanUtamakan aspek disiplin sepanjang SUKMA - Hajiji

Utamakan aspek disiplin sepanjang SUKMA – Hajiji

Read Time:2 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU : Para atlet yang mewakili Sabah ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di ibu negara diingatkan agar sentiasa mengutamakan aspek disiplin yang menjadi elemen paling utama sepanjang temasya berlangsung.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya percaya semua persatuan dan jurulatih telah menanam disiplin yang tinggi dalam setiap jiwa atlet yang mewakili negeri ini ke temasya itu nanti.

“Bantulah pihak Kerajaan Negeri untuk memantau disiplin setiap atlet negeri ini dan membuat laporan segera jika ada atlet yang melanggar disiplin dan menunjukkan sikap tidak baik.

“Ini kerana, kita tidak mahu umpama `nila setitik, rosak susu sebelanga’, yang bermaksud kita tidak mahu atlet tidak berdisiplin ini merosakkan nama baik negeri Sabah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Sabah kepada Kontinjen SUKMA negeri Sabah di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin.Hajiji berkata, kekuatan jati diri dalam setiap individu juga penting bagi meningkatkan lagi ciri-ciri keunggulan sebagai warga Sabah yang bersatu dan jitu.

Katanya, jati diri akan dapat memperlihatkan kewujudan diri seorang individu untuk lebih terampil dan seterusnya mendakap kejayaan membawa pulang pingat-pingat kemenangan dari SUKMA.

“Melalui jati diri juga, kita membina patriotisme dikalangan semua pegawai dan atlet dalam kontinjen SUKMA kita ini. Saya mahu semua inidividu yang ada di hadapan saya hari ini berjiwa sayangkan negeri kita … Sabah Negeri Di Bawah Bayu.

“Patriotisme menanam jiwa kita dengan cinta yang sedalam-dalammnya, dan berusaha sedaya mampu mencapai keputusan terbaik, untuk negeri Sabah dan rakyatnya banggakan.

“Rasa cinta ini akan membuatkan kita bersatu tanpa mengira perbezaan suku kaum, bangsa dan agama,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah percaya kontinjen SUKMA Sabah telah bersedia sepenuhnya untuk bersaing membawa pulang 40 pingat emas seterusnya merealisasikan apa yang telah di impikan sejak sekian lama.

“Oleh itu, saya berharap semua atlet dapat menjaga pemakanan seharian terutama dalam pengambilan makanan-makanan tambah atau `supplement’.

“Dapatkan nasihat jurulatih dan pakar sebelum mengambil sebarang supplement kerana kita takut kandungan dalam supplement yang diambil itu mengandungi bahan terlarang yang akan menyebabkan atlet tersebut tidak dibenarkan bertanding atau keputusan pertandingan mereka dibatalkan kerana tidak melepasi saringan dadah atau `doping’,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru kepada para pegawai agar tidak mengabaikan faktor keselamatan dan semangat setia kawan apabila berada dalam gelanggang perlawanan.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan kesemua atlet Negeri Sabah sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.

“Justeru, saya amat berharap agar tidak akan timbul sebarang salah faham atau persengketaan antara pegawai atau atlet sama ada sebagai pasukan mahu pun sebagai satu kontinjen.

“Semaikanlah amalan sikap terbuka dan saling menerima agar sesuatu cabaran dapat ditangani dalam suasana mesra,” katanya.

Terdahulu, SUKMA ke-20 anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) tahun ini akan berlangsung di ibu negara bermula 16 September ini sehingga 24hb September.

Kontinjen Negeri Sabah diperkuatkan seramai 466 orang atlet yang akan bersaing dalam 31 jenis sukan yang dipertandingkan.

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular