HomeUtama21,633 permohonan Peranti Siswa Fasa 1,2 diterima di Sabah

21,633 permohonan Peranti Siswa Fasa 1,2 diterima di Sabah

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 21,633 permohonan Peranti Siswa Keluarga Malaysia bagi membantu proses pembelajaran mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini telah diterima melibatkan fasa pertama dan kedua.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jumlah yang diterima sejak permohonan dibuka pada April lalu sehingga sehingga semalam itu adalah melibatkan pelajar yang berada dalam kelompok B40.

Katanya, kelulusan pemberian peranti siswa ini dibuat secara berperingkat dan pengagihan akan disempurnakan dalam tempoh tiga bulan.

“Bagi negeri Sabah seperti mana yang saya maklumkan bahawa permohonan yang diperakukan layak pada fasa pertama adalah seramai 3,748 penerima dari 5,565 permohonan.  Baki bagi fasa pertama sebanyak 1,817 permohonan masih dalam proses tapisan.

“Pada hari ini, kita telah menyerahkan sebanyak 100 peranti siswa melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS); Politeknik Kota Kinabalu (PKK); Universiti Teknologi Malaysia (UiTM); Kolej Antarabangsa Almacrest dan  Kolej Cyberjaya Kota Kinabalu.

“Sebelum ini, seramai 425 pelajar PKK turut menerima Peranti Siswa Keluarga Malaysia dalam majlis berasingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sarapan Pagi Menu Keluarga Malaysia dan menyempurkan Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Kolej Kediaman Tun Fuad Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMS Profesor Madya Dr Raman Noordin.

Ketika berucap, Noraini menyeru kepada semua pelajar IPT golongan B40 yang masih belum memohon untuk segera membuat permohonan dalam fasa kedua yang masih dibuka sehingga 30 September ini.

Katanya, ia merupakan komitmen kerajaan Keluarga Malaysia dalam memastikan para pelajar tidak ketinggalan terutama dalam kalangan B40 dan juga sebagai usaha dalam membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok di Malaysia.

“Adalah diharapkan Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang akan diserahkan kepada pelajar dapat menjadi pembakar semangat untuk terus memastikan kecemerlangan akademik dapat dicapai.

“Kami di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan sentiasa peka dengan keperluan pelajar dan memastikan para pelajar dapat menikmati persekitaran yang kondusif sepanjang dalam pengajian,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki hilang, disyaki dibaham buaya selepas bot karam di Sg Kg...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular