HomeSukanSUKMA XX : Wushu, 400 meter wanita sumbang pingat emas Sabah

SUKMA XX : Wushu, 400 meter wanita sumbang pingat emas Sabah

Read Time:3 Minute, 6 Second

KUALA LUMPUR : Sabah terus menambah pungutan pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 dengan menambah tiga lagi pingat emas menerusi acara Wushu dan 400 meter wanita.

Bagi acara Wushu, dua pingat emas berjaya diperolehi menerusi Muhammad Hanif Abdullah dan Muhammad Akid Azlan secara ´knockout´ ke atas lawan.

Manakala emas bagi acara 400 meter disumbangkan oleh Chelsea Cassiopea Evali Bopulas.

Skuad wushu hanya disasarkan untuk meraih pingat gangsa berjaya menamatkan cabaran dengan pencapaian dua pingat emas, dua perak dan dan satu gangsa.

Pengurus pasukan Lee Hon Yu berkata, pihakanya menyifatkan pencapaian itu sebagai luar biasa dan tidak dijangka kerana ianya adalah penampilan semula mereka selepas lama tidak mengambil bahagian dalam sukan terbesar negara tersebut.

“Sasaran rasmi kami adalah satu gangsa tetapi kami menang dua emas, dua perak dan satu gangsa. Tidak ada yang percaya kami mampu hasilkan pencapaian ini sebelum SUKMA termasuk saya sendiri tetapi kami melakukannya.

“Ini adalah pencapaian luar biasa dari pasukan. Prestasi terbaik dari atlet. Kami sangat gembira dan bangga dengan pencapaian ini,” katanya ketika ditemui selepas acara wushu menamatkan saingan di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil petang tadi.

Menariknya, semua pingat emas dan perak skuad wushu itu dimenangi pada hari terakhir pertandingan sukan wushu.

Hanif menumbangkan Hee Kai Seng dari Perak dalam kategori -56kg manakala Akid tewaskan Samuel Yeo dari Johor dalam kategori -60kg.

Seorang lagi finalis Sabah ialah Jack Phoon Yan Jie tetapi tewas kepada peserta pilihan dari Johor, Vicky Hwa Chang untuk hanya berpuas hati dengan pingat perak dalam acara Sanda lelaki -70kg.

Satu lagi pingat perak dimenangi Siaw Ree Hang dalam acara Nangun semalam.Pingat gangsa pula dimenangi Shelden Spencer Wong.

Sheldon berjaya ke separuh akhir tetapi tidak dibenarkan bertarung menentang peserta Selangor, William Tan ekoran kecederaan yang dialaminya pada pusingan sebelum itu.

Sebagai rekod, wushu sukan pertama melabuhkan tirai pertandingan iaitu sehari sebelum kejohanan dirasmikan esok.

Sementara itu, masalah kecederaan buku lali yang dihadapi Chelsea Cassiopea Evali Bopulas bukan halangan buat dirinya untuk merangkul pingat emas buat Sabah dalam acara 400m wanita.

Ia adalah pingat emas ketiga sekaligus menghampirkan sasaran lima pingat emas skuad olahraga Sabah.

Chelsea Cassiopea Evali Bopulas

Dua pingat emas sebelum ini dimenangi Farrel Glenn Felix Jurus dalam acara lompat tinggi lelaki dan Andre Anura @ Anuar (lompat jauh lelaki).

Berlari di lorong keempat, Chelsea tenang melakukan larian tanpa menampakkan masalah kecederaannya untuk mengatasi tujuh peserta lain dengan catatan 57.00s.

Pingat perak dimenangi peserta Johor, Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi (57.78s) manakala pingat gangsa dimenangi Zaimah Atfah Zainuddin dari Wilayah Persekutuan (58.85s).

Seorang lagi peserta Sabah dalam acara akhir itu, Patronella Lisong menduduki tempat keempat dengan catatan 59.34s.

“Memang ada sedikit kecederaan di buku lali sejak lapan bulan lalu tetapi apabila bertanding, saya kena lupakannya dan saya gembira dapat menang. Lagipun ini adalah emas pertama saya di SUKMA,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara.

SUKMA di Perak empat tahun lalu, Chelsea bertanding dalam acara 100 meter dan 200 meter di mana dia menang perak 100 meter dan gangsa 200 meter.

Keputusannya beralih ke acara 400m ternyata berbaloi di mana dia telah membuktikannya bukan hanya di SUKMA hari ini tetapi dalam beberapa kejohanan kebangsaan sebelum ini.

Gadis berusia 22 tahun dari Penampang itu berkata, tiada rahsia sebaliknya beliau hanya berlatih dan berlatih untuk mencapai kejayaannya.

Chelsea masih berpeluang menambah koleksi pingat itu kerana masih mempunyai tiga acara iaitu 200m, 4x100m dan 4x400m.

Sambil itu, olahraga Sabah turut menyumbangkan pingat perak dalam acara 100m wanita menerusi Nur Aishah Rofina Aling dengan catatan 12.08s.

Seorang lagi peserta Sabah, Feova Lim Yi Fei menduduki tempat keempat dengan catatan 12.20s.

Gelaran ratu pecut wanita dimiliki pelari Pahang, Nor Sarah Adi (11.91s) manakala pingat gangsa dimenangi Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dari Selangor (12.10s).

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Malaysia : Sabah FC waspada bertemu pasukan bekas ‘Ketua Kampung...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular