HomeSukanSUKMA XX : Andre sempurnakan misi pertahan pingat emas acara lompat kijang.

SUKMA XX : Andre sempurnakan misi pertahan pingat emas acara lompat kijang.

Read Time:1 Minute, 43 Second

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan, Andre Anura @ Anuar berjaya menyempurnakan misinya untuk mempertahankan pingat emas bagi acara lompat kijang lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di sini pagi tadi.

Ia adalah emas kedua peribadi atlet berusia 23 tahun dari Tenom Sabah selepas meraih emas pertama dalam acara lompat jauh kelmarin.

“Ini adalah penamat yang baik dan saya berpuas hati.  SUKMA kali ini adalah yang terakhir buat saya.

“Saya sasarkan dua pingat emas dan telah memberikan terbaik untuk mengotakannya.  Saya sangat gembira (dapat melakukannya),” katanya ketika ditemui semasa majlis penyampaian hadiah di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Pada peringkat akhir lompat kijang itu, Andre menepati statusnya selaku atlet kebangsaan dan pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Mei lalu dengan catatan jarak lompatan terbaik 16.43m yang dilakukannya pada lompatan kedua.

Lompatan pertamanya  15.67m malahan sudah tidak dapat diatasi 14 peserta lain dalam acara akhir itu.

Pingat perak dimenangi atlet Selangor, Haniff Raffi dengan catatan 15.56m manakala pingat gangsa dimenangi Brendon Ting (Sarawak: 15.14m).

Seorang lagi finalis Sabah dalam acara itu, Muhammad Sunik Muslimin menduduki tempat keenam dengan catatan 14.54m.

“Saya belum pasti kejohanan disertai akan datang, mungkin SUKMA ini adalah kejohanan terakhir saya tahun ini,” kata Andre.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah atas sumbangan pingat emas kedua dari Andre Anura.

“Syabas juga kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin kerana terus memberikan sokongan dan semangat kepada atlet-atlet negeri kita,” katanya.

Pada Jumaat, Andre menang pingat emas acara lompat jauh dengan catatan 7.40m. Pingat perak dimenangi Shahrizal Nasharuddin Isham (Terengganu:7.25m) manakala gangsa dimenangi Muhammad Sunik (Sabah: 7.24m)

Pingat emas Andre pagi tadi adalah yang keempat buat skuad olahraga sekaligus menghampirkan mereka mencapai sasaran lima pingat emas.

Pingat emas lain sebelum ini dimenangi Farrel Glenn Felix Jurus (lompat tinggi lelaki) dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (400m wanita). 

Sasaran skuad olahraga dijangka tercapai seawal lewat petang ini dengan sandaran utama kepada Marlin Hing William dalam acara 5000m wanita.

RELATED ARTICLES
Sukan

Veteran kekal aktif hayun raket di usia emas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular