KUALA LUMPUR: Kontinjen Sabah berjaya melepasi separuh daripada sasaran 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 semalam dengan mengumpul 23 pingat emas; 20 perak dan 27 gangsa.
Pencapaian itu meletakkan Sabah di kedudukan kelima di kalangan 15 pasukan dan kekal berada dalam kelompok sasaran lima pasukan teratas.
Bagaimanapun masih ada tiga hari lagi Pertandingan termasuk hari ini untuk memburu pingat emas yang disasarkan.
Empat pasukan di atas Sabah didahului Johor dengan 60 pingat emas, 35 perak dan 32 gangsa diikuti Wilayah Persekutuan (33 emas; 38 perak dan 45 gangsa); Terengganu (33 emas; 33 perak dan 35 gangsa) dan Pulau Pinang (24 emas; 17 perak dan 28 gangsa).
Sehingga semalam 281 pingat emas sudah dipertandingkan meninggalkan baki 145 ditawarkan sehingga Sabtu ini.
Sukan terbesar negara itu menawarkan keseluruhan 426 pingat emas daripada 31 jenis sukan yang dipertandingkan.
Antaranya iaitu akuatik (renang dan terjun), badminton, berbasikal, bola sepak, gimnastik (artistik dan berirama), hoki, karate, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, pelayaran, skuasy, tenpin boling, wushu, angka berat, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, E-Sports, golf, judo, kanu, kriket, muaythai, petanque, ragbi, sepaktakraw, tenis dan tinju.
Sabah menyertai hampir semua sukan yang dipertandingkan itu.