HomeUtamaRonald sambut baik cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri

Ronald sambut baik cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri

Read Time:1 Minute, 33 Second

TELUPID : Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri Sabah untuk membawa usul bagi menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, ia juga dilihat amat sesuai dengan kehendak rakyat khususnya di Sabah pada ketika ini.

“Ia merupakan satu usul yang baik yang sesuai dengan kehendak rakyat pada era ketika ini. Ini terserah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada merestui kehendak hasrat Kabinet Negeri Sabah untuk meletakkan had tempoh jawatan sebagai Ketua Menteri.

“Ini cabaran besar bagi setiap ADUN negeri Sabah sama ada dari Kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Beluran di Dataran Terbuka Pekan Telupid di sini hari ini.

Program itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

Ronald yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, cadangan Kerajaan Negeri itu juga diyakini akan disambut baik oleh rakyat Malaysia khususnya di Sabah jika dilihat pada konteks perspektif yang meluas.

“Rakyat melihat bahawa ini merupakan satu cadangan dan aspirasi yang wajar disokong bagi memastikan jawatan Ketua Menteri ini akan ditempohkan pada dua penggal, ini satu cadangan baik yang perlu disokong,”katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Hajiji menyatakan bahawa Jemaah Kabinet Sabah secara dasarnya telah meluluskan cadangan bagi menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal.

“Saya telah mencadangkan perkara ini dan Kabinet Negeri telah bersetuju. Jadi,sekiranya rakyat dan semua ADUN Kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada dua penggal, kita akan bawa ke persidangan DUN Sabah akan datang untuk meminda Perlembagaan Negeri.

“Ini kerana menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri melibatkan soal perundangan, justeru Perlembagaan Negeri perlu dipindah melalui Persidangan DUN Sabah.

“Cadangan Ini merupakan salah satu lagi inisiatif yang dibawa oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-BN (GRS-BN),” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular