HomeUtamaKes rasuah babit pelaku wanita meningkat, amat membimbangkan - Azam Baki

Kes rasuah babit pelaku wanita meningkat, amat membimbangkan – Azam Baki

Read Time:1 Minute, 51 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Bilangan kes rasuah membabitkan pelaku wanita semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan keadaan itu amat membimbangkan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Berdasarkan statistik, beliau berkata, seramai 824 wanita ditahan dan daripada jumlah itu, 356 dituduh di mahkamah sepanjang tempoh 2017 hingga Ogos lalu.

Secara terperinci, seramai 308 wanita ditahan berhubung kes tuntutan palsu; menerima rasuah (249); memberi rasuah (90) dan salah guna kuasa (82), manakala selebihnya membabitkan kesalahan lain berkaitan rasuah.

“Rata-rata mereka yang dituduh itu mempunyai kuasa, peranan dan jawatan dalam sesuatu entiti. Ketika mula-mula zaman saya masuk kerja di BPR (Badan Pencegah Rasuah), dalam masa setahun, susah hendak tangkap walaupun seorang wanita.

“Rasuah adalah mengenai orang yang mempunyai kuasa, orang yang telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan amanah. Jadi, mereka ini diberikan tanggungjawab,” katanya pada temu bual, di sini.

Agensi itu ditubuhkan pada 1 Oktober 1967, dengan dahulunya dikenali sebagai BPR sebelum menjadi suruhanjaya bebas dikenali sebagai SPRM pada 2009.

Mengenai undang-undang berkaitan pembiayaan dana politik pula, Azam berkata, perkara itu perlu disegerakan bagi memastikan ahli dan parti politik mengisytiharkan dana yang mereka terima sama ada dari dalam atau luar negara serta punca dana berkenaan diperoleh.

Beliau berkata, takrifan mengenai pembiayaan politik yang sah atau tidak adalah bergantung pada takrifan dipersetujui dalam rang undang-undang dan ia berbeza antara satu negara dengan negara lain.

Bagaimanapun, Malaysia belum mempunyai undang-undang dan peraturan pembiayaan politik, justeru bukan satu jenayah bagi ahli politik serta parti politik untuk menerima pembiayaan politik dan derma persendirian.

Ini bermakna mana-mana ahli politik atau parti politik boleh menerima sumbangan politik daripada perbadanan atau individu dengan syarat wang itu bukan daripada sumber haram.

Namun, katanya, isu itu menjadi jenayah jika dapat dibuktikan bahawa ahli politik yang menerima dana terbabit berada dalam kedudukan untuk membalas budi kepada pemberi derma berdasarkan jawatan ahli politik berkenaan.

Azam berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada masyarakat yang meminta SPRM menyiasat entiti-entiti politik yang dikatakan menerima dana berbentuk rasuah.

“Kami siasat dan bukan kami tidak siasat apabila dilaporkan, namun banyak kes berakhir dengan tiada tindakan pertuduhan. Mereka (orang awam) yang melaporkan tidak berpuas hati… apabila tiada akta (khusus) ini, maka kami mengklasifikasikan sebagai tindakan menerima suapan atau menerima rasuah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular