HomeIsu tempatanSOSHF bantu sembilan kanak-kanak dapatkan rawatan jantung

SOSHF bantu sembilan kanak-kanak dapatkan rawatan jantung

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Seramai sembilan pesakit jantung dari kalangan kanak-kanak khususnya di negeri ini berjaya mendapatkan rawatan menerusi pembedahan di ibu negara dengan bantuan Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF).

Presiden SOSHF Datuk Eva Susau berkata, semua pesakit terlibat berjaya menerima rawatan pada tahun ini dan ia merupakan kesinambungan kepada usaha murni persatuan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Sejak 1981 sehingga hari ini, sejumlah 710 pesakit telah berjaya dibantu.  Pada hari ini (semalam) kita menyambut ketibaan adik Aurelleya, 8, yang mendapat rawatan pembedahan jantung di ibu negara.

“Adik ini mendapat tajaan penuh daripada SOSHF dan dia turut ditemani ibunya (Meldirawati) yang berasal dari Kampung Mangkalua, Kota Marudu,” katanya ketika menyambut ketibaan Aurelleya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, kelmarin.

Eva berkata, ayah kepada Aurelleya bekerja sebagai penoreh getah yang hanya memperolehi pendapatan sekitar RM300 sebulan dan mereka adalah dikategorikan sebagai miskin tegar.

“Jarak rumah mereka ke Queen Elizabeth Hospital II adalah dalam lingkungan 149 kilometer dan memerlukan tiga jam untuk sampai destinasi.

“Meldirawati menjelaskan, anaknya mempunyai temu janji di klinik hospital pakar di sini, dan terpaksa membayar perkhidmatan kenderaan sebanyak RM200 untuk pergi serta balik. Jumlah itu bukan senang untuk diperolehi,” katanya.

Tambahnya, faktor kewangan merupakan kebimbangan utama kepada keluarga miskin tegar untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan yang sewajarnya.

Oleh yang demikian katanya, SOSHF telah mewujudkan tabung kebajikan khusus untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga pesakit miskin yang tidak mampu membayar yuran pengangkutan dan membeli tepung susu untuk anak mereka.

 Beliau juga menasihatkan para pesakit agar tidak terlepas dengan temu janji mereka untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, pada ketika ini semua kos telah meningkat tinggi termasuk penerbangan ke Kuala Lumpur, pengangkutan darat, kos rawatan, pembedahan dan tepung susu semuanya mahal.

“Kami juga mempunyai pesakit yang mengalami kekurangan zat makanan, berat badan tidak sepadan dengan umur mereka. SOSHF akan cuba sedaya upaya untuk membantu pesakit seumpamanya dari segi keperluan kebajikan,” katanya.

Sementara itu, Eva berkata, pihaknya sebelum ini telah berjaya menaja Muhd Abdullah Muammar berumur satu tahun dari Kinabatangan, dan Jennie Christina Jen,3, dari  Kota Belud untuk menjalankan rawatan jantung dan kini sedang berehat di rumah masing-masing.

“Sekali lagi saya ingin merayu kepada masyarakat awam yang bermurah hati dan syarikat korporat agar menghulurkan dana bantuan kepada SOSHF, agar lebih ramai kanak-kanak kurang bernasib baik mampu mendapatkan rawatan jantung.

“Semua derma akan dikecualikan cukai, mereka yang bermurah hati boleh menyalurkan bantuan ke CIMB Bank 8005716221 atau berhubung terus pada talian 019 8801270,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

UMS anjur Karnival Usahawan Mahasiswa sempena Hari Kanak-kanak Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular