HomeIsu tempatan342 pelajar terima PerantiSiswa Keluarga Malaysia

342 pelajar terima PerantiSiswa Keluarga Malaysia

Read Time:1 Minute, 43 Second

KENINGAU: Seramai 342 pelajar tingkatan enam melibatkan tiga buah sekolah menengah di kawasan Parlimen Pensiangan di sini menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Dari jumlah itu, sebanyak 103 unit diserahkan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau; 125 unit di SMK Nabawan dan 114 unit di SMK Sook.

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memastikan para pelajar dari kelompok B40 mempunyai akses kepada sistem pembelajaran yang inklusif.

Inisiatif itu juga turut diperluaskan kepada pelajar Asasi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melibatkan pelajar-pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG), Tingkatan enam, Kolej Vokasional, Sekolah Sukan dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta pelajar ASWARA di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif Kerajaan Keluarga Malaysia itu diharap akan dapat meringkankan beban keperluan pendidikan khususnya bagi para pelajar tingkatan enam.

Katanya, ia seterusnya akan menjadi pembakar semangat untuk para pelajar tersebut melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bantuan PerantiSiswa ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Keluarga Malaysia untuk membantu dan memastikan faktor-faktor kewangan seperti keperluan untuk membeli peranti tidak akan menjadi penghalang kepada para pelajar untuk mencapai potensi mereka yang sepenuhnya.

“Saya juga ingin berpesan kepada penerima PerantiSiswa untuk menjaga amanah yang diberikan dan manfaatkan peranti percuma tersebut bagi tujuan memudahkan pengajian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya,  Kerajaan akan sentiasa meneliti setiap cadangan dan permohonan yang dikemukakan termasuk bagi memperluas Program PerantiSiswa serta program-program yang membantu rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan meletakkan ketersambungan telekomunikasi sebagai salah satu keutamaan Kerajaan khususnya di kawasan pedalaman dan ini telah dibuktikan dengan pembinaan baharu 46 menara dan menaik taraf 44 menara telekomunikasi di Parlimen Pensiangan sahaja.

“Dengan adanya capaian internet dan program PerantiSiswa ini, ianya akan membantu memudahkan lagi sistem pembelajaran secara atas talian para pelajar di samping membolehkan para belia mengikuti perkembangan semasa dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau menegaskan keperluan dunia moden pada masa ini adalah peranti dan beliau meletakkan keyakinan Kerajaan Keluarga Malaysia akan dapat memperluaskan lagi inisiatif ini sekiranya diberi peluang di masa akan datang.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

58 beg darah berjaya dikutip, bantu pesakit memerlukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular