KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyerahkan kepada pucuk pimpinan bagi menamakan calon-calon muda yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Pemuda GRS Jonnybone J Kurum berkata, pihaknya juga percaya dengan kewibawaan pucuk pimpinan dalam meletakkan calon-calon berwibawa pada piliha raya kali ini.
“Untuk meletakkan calon muda di kawasan Parlimen ini sememangnya kita juga ada senarai yang dikenal pasti dan sudah tentu dengan kebijaksanaan pihak pemimpin atas. Kita sudah melihat beberapa orang berpotensi.
“Kami diperingkat pergerakan Exco Pemuda GRS ini juga memohon untuk dipertimbangkan juga calon-calon bersesuaian kerana kita mahu suara muda dalam Parlimen yang mewakili ngeri ini di peringkat Persekutuan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Jonnybone yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid berkata, pihaknya turut akur bahawa bukan pakej ‘orang muda’ menjadi keutamaan namun ianya akan diambil dari banyak sudut.
Menurutnya, ianya termasuklah dari segi pendidikan, pengalaman dan sebagainya.
Dalam pada itu, Jonnybone berkata, Pergerakan Pemuda GRS akan terus mempromosi parti itu sebagai satu platfrom politik baharu dalam meraih penyatuan rakyat di negeri ini termasuk para pemimpin di Sabah.
Katanya, ia juga akan dapat memastikan kestabilan politik di negeri ini akan terus terjamin khususnya kepada kemakmuran rakyat.
“Kita juga berharap melalui kestabilan dan kemakmuran yang ada, semua perancangan yang telah dirancang akan dapat terus dilaksanakan jika Kerajaan sedia ada diberi mandat rakyat selepas PRU-15,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW