HomeUtamaSESB siapsiaga pastikan bekalan elektrik stabil sepanjang PRU-15

SESB siapsiaga pastikan bekalan elektrik stabil sepanjang PRU-15

Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah bersiap siaga bagi memastikan bekalan elektrik sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU-15) berjalan lancar dan stabil.

Ketua Pegawai Eksekutif Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, ia termasuklah memastikan bekalan elektrik di 26 Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di seluruh Sabah dan Labuan berada dalam keadaan baik.

“SESB telah pun melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu-sedia bekalan elektrik di lokasi-lokasi tersebut sentiasa terjamin sepanjang musim pilihanraya.

“Kita juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah bagi membincangkan persediaan-persediaan untuk PRU serta memaklumkan langkah-langkah yang diambil oleh SESB untuk memastikan pepasangan SESB sentiasa dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Yaakob berkata, SESB juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pendawaian dalaman dewan-dewan di bawah bidang kuasa JKR yang merangkumi pusat-pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi dalam keadaan teratur dan stabil.

Katanya, SESB juga akan membuat pemeriksaan keselamatan dengan meningkatkan aktiviti rondaan oleh anggota polis bantuan SESB dan mengaktifkan bilik gerakan di Ibu Pejabat dan semua Pejabat Kawasan SESB seluruh Sabah.

“SESB juga akan menyediakan pasukan tunggu sedia di semua lokasi serta genset bergerak (mobile genset) di kawasan-kawasan kritikal,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yaakob berkata, SESB juga akan berkolaborasi bersama pihak berkaitan untuk menghentikan sementara kerja-kerja melibatkan pengorekan berhampiran pepasangan SESB oleh kontraktor terlibat bagi mengelak kejadian terkorek kabel SESB untuk tempoh 5 November sehingga 19 November 2022 bagi memastikan bekalan elektrik sentiasa berterusan.

Antara yang terlibat seperti JKR, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), syarikat telekomunikasi dan lain-lain.

Katanya, bilik gerakan SESB pula akan dibuka pada Hari Penamaan Calon iaitu Sabtu ini dan Hari Pembuangan Undi/ Penjumlahan Rasmi Undi (19 November 2022) bagi memastikan komunikasi di antara SESB dan pihak-pihak tertentu dapat diurus secara lebih berkesan.

Dalam pada itu, semua kerja-kerja terjadual yang telah dirancang awal dan melibatkan penutupan berjadual akan ditangguhkan kecuali penutupan bekalan yang melibatkan kerja-kerja kecemasan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa berjaya bangunkan ekonomi Sabah – Arif Sakaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular