HomeIsu tempatan387 PATI dihantar pulang ke negara asal

387 PATI dihantar pulang ke negara asal

Read Time:1 Minute, 39 Second

SANDAKAN : Seramai 387 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal menerusi pelaksanaan Program Pemindahan Tahanan PATI bagi Siri 18 yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sini semalam.

Pengarah JIM Sabah Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI terlibat dihantar pulang ke negara asal menggunakan jalan laut dari Pelabuhan Sandakan.

“Pecahan tahanan yang dipindahkan adalah terdiri daripada tahanan lelaki dewasa seramai 372 orang, 14 orang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berumur di bawah 12 tahun.

“Semua PATI yang dihantar kali ini adalah tahanan warganegara Filipina yang ditempatkan di Depot Imigresen Tawau,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Sitti Saleha berkata, semua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Sabah, ) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan itu adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Sabah.

Katanya, jabatan ini merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini.

Ini termasuklah Kerajaan Negeri Sabah, pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, PDRM, ESSCOM, Lembaga Pelabuhan Dan Dermaga Negeri Sabah, Jabatan Laut Malaysia Negeri Sabah, APMM, ATB2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Negeri Sabah.

“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular