KOTA BELUD: Membentuk Daerah Kota Belud sebagai pusat pengajian tinggi terbaru di Negeri Sabah merupakan salah satu aspirasi utama buat calon Barisan Nasional (BN) P.169 Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Menjadikan agenda pendidikan tinggi sebagai visi berkenaan, beliau berkata ia adalah kesinambungan kepada pencapaiannya sebagai Ahli Parlimen sebelum ini, sekaligus membawa kemajuan dari segi sosio ekonomi mapan di daerah tersebut.
“Kita berhasrat membawa aspirasi Kota Belud dijadikan sebagai pusat pengajian tinggi yang baharu di negeri Sabah kerana aspek pendidikan amat memainkan peranan penting dalam masyarakat dan rakyat kita di Kota Belud,” katanya.
Beliau yang merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu beranggapan sudah tiba masanya daerah terbabit diangkat menjadi salah satu hab pendidikan di Sabah dan pusat pengajian terbabit dilihat amat signifikan untuk direalisasikan.
“Saya datang ke Kota Belud untuk menyambung semula apa yang saya rancang untuk Kota Belud.
“Apa kekuatan Kota Belud? Yang pertama adalah pertanian, kedua adalah pelancongan, ketiga adalah industri minyak dan gas manakala keempat, Kota Belud dibentuk sebagai pusat pengajian tinggi yang terbaru di Sabah, ” katanya.
Bagi Parlimen P.169 Kota Belud, Abdul Rahman calon BN akan berdepan dengan cabaran tiga penjuru merebut kerusi parlimen itu menentang Munirah Majilis yang juga penyandang Ahli Parlimen dari WARISAN dan Modily Bangali dari PH.