HomeUtamaPRU15 : 11 calon kekal, 14 lagi muka baharu diberi mandat sebagai...

PRU15 : 11 calon kekal, 14 lagi muka baharu diberi mandat sebagai Ahli Parlimen di Sabah

Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Seramai 11 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sabah berjaya mempertahankan kerusi yang disandang sebelum ini.

Antara yang berjaya mempertahankan kerusi ialah Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang bertanding di Parlimen Beluran atas tiket Perikatan Nasional (PN) menewaskan empat lagi pencabar dengan majoriti 1,594.

Turut mempertahankan kerusi adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar yang bertanding di Parlimen Kinabatangan menewaskan pencabar tunggal dari Parti Warisan (Warisan) dengan majoriti 4,330.

Sembilan lagi calon yang berjaya mempertahankan kerusi adalah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Keningau-GRS); Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan-BN); Datuk Mohamad Alamin (Kimanis-BN) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau -GRS).

Selain itu turut mengekalkan kerusi ialah Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna- Warisan); Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran-PH); Munirah Majilis (Kota Belud-Warisan); Chan Foong Hin (Kota Kinabalu-PH) dan Vivian Wong (Sandakan-PH).

Pada pilihan raya kali ini juga menampilkan 14 muka baharu selain beberapa penyandang turut tewas di kerusi yang ditandingi selain dua daripadanya adalah calon bebas.

Antara kerusi yang dimenangi calon bebas adalah Parlimen Kudat dan Tenom masing-masing dimenangi oleh Verdon Bahanda dan Riduan Rubin.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu tewas kepada Datuk Wetrom Bahanda yang bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dengan majoriti 8,174.

Dalam pada itu, kerusi Parlimen Sepanggar yang sebelum ini disandang Dato Mohd Azis Jamman (Parti Warisan) turut tewas kepada Mustapha Sakmud yang bertanding atas tiket PH selepas berdepan pertandingan lima penjuru dengan majoriti 7,042.

Empat kerusi yang sebelum ini diwakili Parti Warisan turut gagal mempertahankan kerusi berkenaan antaranya Penampang; Papar; Batu Sapi dan Kalabakan.

Bagi kerusi Parlimen Penampang, ia telah dimenangi Datuk Ewon Benedick (PH); Datuk Armizan Mohd Ali (Papar-GRS); Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi-GRS) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan-BN).

Enam lagi muka baharu yang berjaya membuat penampilan pada PRU15 kali ini adalah Datuk Shahelmey Yahya yang memenangi kerusi Parlimen Putatan dengan majoriti 124 seterusnya menewaskan penyandang Awang Husaini Sahari.

Selain itu, turut menampilkan muka baharu Datuk Siti Aminah Aching (Beaufort-BN); Datuk Matbali Musah (Sipitang-GRS); Datuk Suhaimi Nasir (Libaran-BN); Dato Mohammad Yusof Apdal (Lahad Datu-Warisan) dan Lo Su Fui (Tawau-GRS).

Berdasarkan kedudukan, BN berjaya memenangi tujuh kerusi; GRS (6); PH (5); Warisan (3); Bebas (2) ; PKDM (1) dan PN (1). – SABAH MEDIA/EAW

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Keperluan Mewujudkan Lembaga Padi dan Benih Baharu di Sabah...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular