KOTA KINABALU : Kerajaan negeri telah menamatkan Perjanjian Lesen Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) atas dasar kepentingan awam.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, bagi menangani isu penamatan lesen SFI, Kerajaan Negeri akan membahagikan kawasan konsesi tersebut kepada beberapa konsesi dengan saiz yang lebih kecil dan munasabah.
Katanya, ianya adalah untuk diurus di bawah Perjanjian Lesen Sustainable Forest Management License Agreement (SFMLA) yang baharu.
“Syarikat-syarikat pelaburan dan konsortium di kalangan SFMLA akan dibentuk, serta pengambilalihan aset SFI akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya.
“Konsortium yang bakal dibentuk ini diharapkan dapat menghidupkan semula dan menstruktur pembangunan, pengurusan dan pengoperasian kilang palpa dan kertas, serta industri hiliran berkaitan. Ini termasuklah mencari penyelesaian peranan sub-kontraktor yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi Jabatan Ketua Menteri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Abidin berkata, sementara menunggu pembentukan konsortium tersebut untuk mengambil alih operasi hiliran, semua bekas pekerja SFI adalah dibenarkan untuk menduduki rumah-rumah pekerja sedia ada, secara percuma.
“Diharapkan dengan pembentukan konsortium ini kelak, isu dan masalah yang berkaitan dengan SFI ini dapat diselesaikan, dan pada masa yang sama, sumber hutan di kawasan ini dapat diurus dengan baik.
“Ini termasuk operasi kilang dapat diaktifkan semula serta kebajikan bekas pekerja SFI yang terjejas dapat diatasi melalui pengambilan semula pekerja,” katanya.