HomeUtamaAmbil peluang tingkat pendapatan ahli koperasi , komuniti kampung - Abdul Ghani

Ambil peluang tingkat pendapatan ahli koperasi , komuniti kampung – Abdul Ghani

Read Time:1 Minute, 57 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Koperasi Marais Center Tenom Berhad memperoleh dana sejumlah RM1 juta bagi melaksanakan Program Desa Lestari di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Datuk Abdul Ghani Mohamed Yasin berkata, program itu juga telah dipertanggungjawab kepada LKTNS bagi tujuan pemantauan sejak tahun 2020.

“Melalui dana ini kita telah pun melaksanakan program iaitu Desa Lestari antaranya membina satu pusat pemprosesan kilang beras yang telah pun siap dan menaik tarag jalan kepada jalan konkrit menuju pusat pemprosesan kilang beras sepanjang 0.2 kilometer di Kampung Marais Lama.

“Selain itu, dana yang disalurkan itu juga turut menyediakan mesin pemprosesan padi dan mesin pengering padi yang telah tersedia,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan kunci van panel kepada Koperasi Marais Center Berhad secara simbolik di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar LKTNS Syaheddrul R Joddari dan Pengerusi Koperasi Marais Center Berhad James Ranggi.

Abdul Ghani berkata, dana itu juga dapat menyediakan dokumen dan pembayaran tuntutan bagi upah pekerja dan program latihan selain penyediaan van panel kepada koperasi berkenaan.

“Untuk program ini kita akan dapat memanfaatkan seramai 140 orang ahli koperasi dan apabila kita mengadakan kerjasama serta perjanjian persefahaman (MOU) bagi program penanaman padi.

“Maka apabila diproses dan menjadi beras, koperasi ini akan membekalkan kepada anak syarikat LKTNS iaitu Syarikat Sabaras untuk dibungkus semula atas jenama Sabaras,” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, program seumpama itu juga turut dilaksanakan dibeberapa koperasi lain seperti Inanam dan Kundasang namun ia lebih kepada pelancongan dan eko pelancongan.

Katanya, sehingga kini sebanyak enam buah van telah diberikan kepada koperasi terlibat dan ini merupakan antara program Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi melestarikan serta membantu masyarakat luar bandar dalam bidang perniagaan.

“Pemilihan kenderaan van ini adalah untuk kemudahan mereka (koperasi), terutama untuk mengambil pelanggan, mengangkat barangan penanaman padi selain stok dan pekerja mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, program penanaman padi pada penghujung tahun dilihat sukar khususnya dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Bagaimanapun kita berharap dan berdoa agar tahun hadpaan semua ini berjalan lancar.  Selain itu saya juga melihat sektor pelancongan menerusi program ini juga menunjukkan peningkatan selepas COVID-19.

“Dengan program yang sebegini, kita bertekad dan mengharapkan agar semua pihak dapat bekerjasama supaya apa juga program yang disediakan akan dapat memajukan lagi masyarakat khususnya di luar bandar,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

RELATED ARTICLES
Utama

Saya serahkan kepada pihak berwajib – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular