KOTA KINABALU : Universiti perlu memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan mutu pendidikan kepada masyarakat khususnya di luar bandar.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, universiti seharusnya menggembleng tenaga dalam membantu menaikkan lagi tahap pendidikan bagi menjamin kehidupan masyarakat yang lebih baik kepada generasi yang akan datang.
“Universiti berperanan terutamanya dalam isu-isu berkaitan pendidikan awal, dan tumpuan ini adalah selaras dengan hala tuju UMS yang bertekad untuk memimpin ke arah masyarakat yang berinovatif.
“Penyelidikan dan inovasi perlu digiatkan sebagai satu inisiatif libat sama antara universiti dan komuniti, khasnya yang berada di luar bandar dan berstatus miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Bengkel Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Awam (JKTNCPI UA) yang berlangsung di Pulau Mabul, Semporna baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan, bengkel tiga hari yang dihadiri oleh timbalan-timbalan naib canselor penyelidikan dan inovasi serta pengarah-pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dari 20 buah universiti awam telah membentuk resolusi khusus ke arah membantu sekolah dan kolej untuk mencari penyelesaian praktikal melalui penyelidikan dan inovasi berasaskan masalah setempat.
“Sebagai contoh, delegasi bengkel telah turun padang dan bersama dengan komuniti setempat Sekolah Kebangsaan Pulau Mabul termasuklah para guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah pada hari ketiga bengkel berlangsung.
“Dalam pertemuan tersebut, para penduduk berkongsi masalah utama berkenaan ketiadaan dokumen lengkap bagi membolehkan anak-anak Pulau Mabul berdaftar dan menikmati pendidikan di sekolah.
“Infrastruktur sekolah yang agak daif, sumber bacaan yang tidak mencukupi serta persekitaran pembelajaran yang kurang kondusif juga menjadi faktor kepada keberkesanan pendidikan yang menjadi kurang efektif di sekolah tersebut,” katanya.
Rosalam menambah, bengkel tersebut juga menjadi platform kepada UMS sebagai tuan rumah untuk berkongsi amalan baik dalam penggunaan sistem data maklumat yang komprehensif.
“Ini membolehkan pengurusan universiti membuat keputusan secara telus dan meningkatkan keterlihatan kecemerlangan universiti dari segi akademik, penyelidikan dan kebajikan para pelajar,” ujar beliau.
Pada bengkel tersebut, Pengerusi JKTNCPI UA, Profesor Ir Dr Sharliza Ibrahim yang mengetuai delegasi bengkel merumuskan keperluan pemantapan ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti awam yang meliputi penyelidikan berimpak tinggi pelbagai disiplin baik sains mahupun sastera.
Beliau turut berkongsi tentang perancangan awal 2023 yang akan membawa peningkatan ekosistem penyelidikan dan inovasi ke arah kesejahteraan sosial, ekonomi dan alam sekitar. – SABAH MEDIA