KOTA KINABALU: Dua orang mangsa cedera ringan selepas kenderaan yang dinaiki terbabas di tingkat 3 tempat letak kenderaan lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat 2 dalam satu kejadian di Kompleks Star City di sini pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.56 pagi tadi (25 Dis) mengenai kejadian itu.
Katanya, pasukan Bomba tiba di lokasi kejadian mendapati terdapat sebuah kenderaan jenis Toyota Vios terbabas di tingkat 3 tempat letak kenderaan lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat 2 di Kompleks Star City, Kota Kinabalu.
“Terdapat dua orang mangsa terlibat dalam kejadian itu dan mereka telah keluar sendiri dari kenderaan.
“Mangsa seorang lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 30 tahun itu hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seterusnya, pasukan Bomba bertindak menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain dan memasang sawar-sawar di lokasi kejadian.
“Kemudiannya kedua-dua mangsa dihantar ke hospital menggunakan Ambulans dan operasi ditamatkan pada jam 11.59 pagi pada hari sama,” katanya.