LABUAN : Konsulat Jenderal Indonesia Kota Kinabalu melalui wakilnya Iman Siregar telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Zon Maritim Labuan di pejabatnya di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, kunjungan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan status terkini Operasi Carilamat yang diterajui Zon Maritim Labuan terhadap insiden pencarian mangsa kru bot nelayan tempatan, Diniela Rambie,58, yang hilang pada 24 Disember lalu.
“Meskipun koordinasi Carilamat telah ditamatkan pada 27 Disember lalu, namun pencarian tetap diteruskan menerusi rondaan dan pemantauan oleh aset laut dan pasukan darat Zon Maritim Labuan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Iman Siregar turut memberi reaksi positif berhubung penerangan dan komitmen yang diberikan serta merakamkan jutaan terima kasih kepada pasukan Carilamat yang diterajui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu, Zon Maritim Labuan serta lain-lain agensi sahabat yang terlibat sepanjang empat hari usaha pencarian mangsa dilaksanakan.
Selain itu, delegasi kunjungan turut diberi penerangan berhubung fungsi, peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia selaku Koordinator Operasi Mencari dan Menyelamat Maritim Kebangsaan seperti mana yang termaktub di dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20 agar kefahaman berkaitan Carilamat di Zon Maritim Malaysia difahami.
Zon Maritim Labuan turut berterima kasih dengan sokongan yang diberikan pihak Konsulat Indonesia dalam operasi yang dilaksanakan pihak berkuasa Malaysia dan berharap mangsa yang hilang dapat ditemui segera. – SABAH MEDIA