RANAU : Jalan Kota Kinabalu – Sandakan (Riverside Mart) di KM 109.378 Ranau akan mula dibuka bermula esok.
Bagaimanapun Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam satu kenyataan berkata, laluan itu hanya dibuka satu lorong iaitu bagi pengguna jalan raya daripada arah Sandakan ke Ranau/ Kota Kinabalu.
“Orang awam adalah dimaklumkan Jalan Kota Kinabalu – Sandakan (Riverside Mart) di KM 109.378 Ranau akan dibuka bermula 13 Januari 2023 iaitu pada esok hari.
“Laluan ini hanya dibuka kepada kenderaan dengan had muatan yang dibenarkan adalah tidak melebihi lapan tan.
“Bagi kenderaan yang melebihi lapan tan ke atas, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif Jalan Marak-Parak – Kota Marudu,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
JKR Sabah berkata, pengguna jalan daripada Kota Kinabalu / Ranau ke Sandakan boleh menggunakan laluan alternatif iaitu melalui Jalan Sinarut Baru – Togudon Baru dan Jalan Gereja SIB.
Katanya, laluan yang dibuka hanya selorong bermula esok itu akan dibuka sepenuhnya pada 18 Januari kepada semua jenis kenderaan.
“Mohon kepada semua pengguna agar berhati-hati melalui laluan tersebut dan sila patuhi arahan papan tanda yang telah disediakan.
“Kerjasama daripada semua amatlah dihargai. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.
Pada 4 Januari lalu, Jalan Kota Kinabalu – Sandakan (Riverside Mart) di KM 109.378 Ranau itu ditutup serta merta untuk semua kenderaan disebabkan hujan lebat yang berterusan.
JKR Sabah memaklumkan hujan berterusan itu turut mengakibatkan kegagalan pembentung dan jalan putus yang membahayakan laluan. – SABAH MEDIA