HomeIsu tempatanPersidangan antarabangsa ICICP 2023 medium terbaik teroka aspek psikologi, budaya orang asal

Persidangan antarabangsa ICICP 2023 medium terbaik teroka aspek psikologi, budaya orang asal

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Persidangan antarabangsa International Conference on Indigenous and Cultural Psychology (ICICP) 2023 menjadi medium terbaik menghimpunkan para ahli akademik dan penyelidik dari dalam dan luar negara untuk perbincangan dan peluang penerokaan ilmu berkaitan psikologi dan budaya orang asal.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, persidangan anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) itu adalah peluang terbaik kepada para peserta untuk berkongsi kajian dan dapatan berkaitan orang asal dan budaya.

“Masyarakat di Borneo khususnya mempunyai pelbagai aspek untuk diketengahkan, sama ada berkaitan bahasa, adat, seni, dan lain-lain tradisi.

“Persidangan kali ini turut membincangkan berkaitan kepimpinan, pencapaian dan kualiti kehidupan pasca pandemik COVID-19, dan ini adalah masa yang tepat untuk perbincangan tersebut melihat kepada pelbagai cabaran yang kita tempuhi sejak beberapa tahun ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, di sebalik pelbagai rintangan yang dihadapi, masyarakat mampu bertahan dan telah menyesuaikan diri dengan kehidupan norma baharu.

“Kita menjadi lebih responsif terhadap keperluan perubahan termasuk dalam pendekatan dan kaedah dalam melakukan penyelidikan.

“Justeru, diharap persidangan dua hari ini mampu memangkin lebih banyak perbincangan konstruktif dan intelektual di bawah topik yang luas berkaitan bidang psikologi,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Dekan FPP, Prof. Dr. Murnizam Halik memaklumkan ICICP 2023 mempunyai pelbagai sub-tema di bawah bidang psikologi untuk perbincangan bersama delegasi tempatan dan antarabangsa.

Katanya, persidangan secara hibrid itu juga adalah hasil daripada perkongsian kerjasama antara FPP dan International Association of Indigenous and Cultural Psychology.

“Selain pembentangan peserta, terdapat 12 sesi ucaptama yang disampaikan oleh ahli-ahli akademik dari pelbagai institusi dalam dan luar negara.

“Saya juga melihat satu kolaborasi boleh dijalin bersama antara peserta melalui ICICP 2023 memandangkan pertemuan secara fizikal dan secara maya ini memberi kita peluang untuk meluaskan jaringan kerjasama,” ujar beliau.

Seramai 250 peserta menyertai persidangan tersebut, melibatkan peserta tempatan dan dari luar negara, antaranya dari Jepun, Korea Selatan, United Kingdom, Itali, Amerika Syarikat, India, Hong Kong, Taiwan, Republik of Yemen, Pakistan, dan Indonesia. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

100 warga emas diraikan sempena Hari Natal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular