BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Berdepan situasi aset usang yang antara lain mendatangkan risiko kepada anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan kekangan utama dalam pengoperasian Armada Timur, kata Panglimanya Datuk Sabri Zali.
Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan Persekutuan memandang serius perkara itu sekali gus mencari jalan mengatasinya kerana Armada Timur dan TLDM amnya kini masih menggunakan aset terutama kapal berusia lebih 45 tahun bagi menjaga keselamatan negara.
Bagaimanapun, katanya Armada Timur tidak pernah meletakkan aset usang sebagai alasan bagi melaksana tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara, malah anggotanya berusaha membaik pulih aset itu supaya ia dapat menjalankan tugas dengan baik.
“Dalam TLDM kapal yang berusia lebih 25 tahun sepatutnya tidak lagi digunakan, tetapi kita masih menggunakan kapal yang sudah berusia lebih 45 tahun sehingga mendatangkan banyak masalah selain kos penyelenggaraan juga mahal.
“Walaupun adanya kekangan itu, kita tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara khususnya di Sabah…semua aset termasuk yang telah usang berusia lebih 45 tahun masih beroperasi seperti biasa,” katanya di sini semalam.
Sabri ditemui pemberita selepas majlis ‘Fleet Review’ atau penghormatan terakhir kepadanya sebagai Panglima Armada Timur setelah menerajui armada itu sejak 24 Dis 2020.
Laksamana Muda Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dilantik Panglima Armada Timur yang baharu berkuat kuasa Jumaat ini, manakala Sabri akan akan bertugas di Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan selepas ini.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada (MPA) Timur dalam kenyataan memberitahu Sabri yang sentiasa mengamalkan dasar pandang ke hadapan, telah memacu Armada Timur menjadi angkatan laut yang sentiasa siap siaga dan berkeupayaan dalam mempertahankan Zon Maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak.
“Beliau sentiasa menitikberatkan keperluan operasi selain mengambil berat prihal menaik taraf infrastruktur di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan jeti operasi MPA Timur serta Markas Wilayah Laut 2 di Sandakan.
“Beliau turut lantang memperjuangkan isu keperluan aset TLDM selari dengan Program Transformasi 15 to 5 dan proaktif dalam penglibatan eksesais berimpak tinggi sama ada intra-TLDM ataupun bilateral dengan negara sahabat yang lain,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA