KOTA BELUD: Pusat Rehabilitasi Ungka yang pertama di Sabah yang terletak di Kampung Kiau Nulu di sini dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Pusat pemuliharaan spesis Ungka itu dibina atas inisiatif sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Gibbon Rehabilitation Project (Borneo GReP) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semula Jadi Kampung Kiau Nuluh (GOMPITO).
“Bagi pihak pimpinan dan rakyat Kadamaian saya mengalu-alukan inisiatif ini dan akan terus memberi sokongan kepada GReP,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pusat pemuliharaan itu, di Dewan Gompito Kg.Kiau Nulu, di sini, kelmarin.
Pusat rehabilitasi sementara itu menerima pembiayaan daripada Nepada Wildlife Jerman sebanyak RM100,000 dan RM40,000 daripada kerajaan untuk memulakan pembinaan pusat itu yang menempatkan lima ekor Ungka atau Kalawot dalam Bahasa Dusun.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, sebagai sokongan kepada usaha Borneo GReP, beliau akan menyalurkan peruntukan sejumlah RM50,000.
“Daripada jumlah itu, RM25,000 akan digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan pusat rehabilitasi dan selebihnya untuk menambahbaik kemudahan di kawasan ini termasuk jalan raya dan laluan tangga di pusat ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Borneo GReP atas usaha mewujudkan pusat rehabilitasi yang pertama di Borneo seterusnya menjadikannya sebagai antara tarikan pelancong di Sabah, khususnya di Kampung Kiau.
Sementara itu Presiden Gibbon Conservation Society (GCS) yang juga Pengarah Projek Borneo GReP Mariani Ramli berkata, kelima-lima ekor Ungka itu daripada Jabatan Hidupan Liar dan Sepilok.
“Tempoh rehabilitasi bergantung kepada perkembangan mental dan fizikal individu Kelawot itu sendiri iaitu minimum lima tahun dan maksimum 10 hingga 15 tahun.
“Kita jalankan proses rehabilitasi untuk memulihkan mental dan fizikal serta cuba meliarkan kembali mereka. Kita akan lepaskan mereka di hutan selepas memenuhi tujuh kreteria yang ditetapkan dalam garis panduan antarabangsa,” katanya.
Latar belakang Kelawot yang ada di pusat itu kebanyakannya ibu bapa dibunuh dan mereka dijadikan haiwan peliharaan.
“Kalawot adalah satu spesis mawas yang berkongsi 96 peratus DNA seperti manusia dan mempunyai fungsi dalam hutan untuk menyebarkan biji benih.
“Ada beberapa spesis pokok yang Kelawot sahaja boleh sebarkan biji benih di hutan. Tanpa Kelawot maka ekosistem dalam hutan kita di Sabah akan terganggu,” katanya.
Selain itu katanya, antara keistimewaan Kelawot ialah, ia satu-satunya mawas yang boleh menyanyi di hutan.
Mariani juga berharap dengan wujudnya pusat rehabilitasi itu akan meningkatkan minat para pelajar dan pengkaji memulakan kajian mengenai Kelawot di Sabah. – SABAH MEDIA