HomeUtamaKuasai bahasa ibunda, bahasa kebangsaan, bahasa antarabangsa

Kuasai bahasa ibunda, bahasa kebangsaan, bahasa antarabangsa

Read Time:1 Minute, 54 Second

TANJONG MALIM: Para pelajar disaran untuk menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa termasuk bahasa ibunda bagi mempromosikan bahasa etnik masyarakat mereka kepada dunia luar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, selain bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa seseorang juga harus menguasa bahasa ibunda mereka sendiri.

“Tiga bahasa wajib ada pada semua warganegara Malaysia termasuk Bahasa ibunda iaitu Kadazan Dusun ataupun bahasa-bahasa etnik lain. Bahasa ibunda wajib untuk kita pertahankan dan wariskan kepada anak-anak kita.

“Kita juga harus menguasai sekurang-kurangnya satu bahasa antarabangsa bagi memudahkan kita mendapatkan pekerjaan atau meluaskan rangkaian perniagaan ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Inovasi dan Budaya Kadazandusun, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, kelmarin.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, Program Bahasa Kadazandusun di UPSI merupakan salah satu perjuangan UPKO sebagai inisiatif melestarikan bahasa dan budaya etnik-etnik di Sabah khususnya dalam rumpun Kadazan dan Dusun atau Momogun.

“Sebagai menteri yang mewakili etnik-etnik di Sabah, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada UPSI khususnya Fakulti Bahasa dan Komunikasi kerana bekerja keras melahirkan graduan Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Bahasa Kadazandusun serta pelbagai bidang. 

“Graduan-graduan ini adalah aset penting untuk pembangunan modal insan yang akan meneruskan pembangunan negara khususnya negeri Sabah.

“Oleh itu saya ingin melihat Program Minor Bahasa Kadazandusun dan bahasa etnik-etnik lain di UPSI terus berkembang dan menjadi pilihan para pelajar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kejayaan menganjurkan Karnival Inovasi dan Budaya Kadazandusun yang dilaksanakan pihak pengurusan tertinggi UPSI, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Program Minor Kadazandusun, Exco Bahasa Kadazandusun dan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) yang mempersembahkan hasil kerja yang diperoleh melalui pengalaman, pengetahuan dan kemahiran yang mereka pelajari di UPSI.

“Saya yakin karnival ini merupakan platform membina elemen-elemen keguruan dalam diri seterusnya merealisasikan apsirasi negara membina masyarakat madani,” katanya dan berharap mahasiswa dan siswi UPSI akan menjadi ejen perpaduan.

Mengenai program keusahawanan di Kementerian Pembangunan Usahwan dan Koperasi (KUSKOP) Ewon berkata, kementerian itu mempunyai 11 agensi yang mempunyai peranan masing-masing dalam membangunkan sektor keusahawanan termasuk program usahawan untuk siswazah.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk pelajar Program Pengajian Kadazandusun dan RM5,000 untuk IKSAS. –SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan Potong Berakhir Tragedi: Isteri Pemandu Maut di Lokasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular