HomeUtamaKUSKOP buat penarafan perusahaan sosial, sediakan dana pembangunan

KUSKOP buat penarafan perusahaan sosial, sediakan dana pembangunan

Read Time:1 Minute, 29 Second

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) sedang melaksanakan penarafan perusahaan sosial di negara ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, penarafan tersebut bertujuan untuk mengesahkan status perusahaan sosial bagi mendapatkan akses kepada pelbagai sokongan dan peluang yang lebih besar untuk mengembangkan perniagaan.

“Kementerian melaksanakan dua jenis penarafan iaitu Perusahaan Sosial Asas dan Perusahaan Sosial Diakreditasi.

“Perusahaan sosial asas haruslah memenuhi deskripsi perusahaan sosial yang berkuatkuasa di Malaysia dan sekurang-kurangnya telah beroperasi selama enam bulan. Perusahaan ini juga haruslah didorong untuk menangani sosial dan alam sekitar.

“Manakala perusahaan sosial diakreditasi pula merupakan penarafan susulan bagi bagi perusahaan yang sudah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun dan mempunyai laporan pengukuran impak sosial dan alam sekitar,” katanya.

Menurut Ewon, kementeriannya juga menyediakan peruntukan pembangunan perusahaan sosial yang telah diberikan penarafan termasuk Kursus Asas Keusahawanan Sosial.

“SME Bank dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) merupakan dua agensi kementerian yang akan terlibat membangunkan perusahaan sosial di negara ini melalui dana pembangunan dan kursus keusahawanan. Kementerian pula akan melaksanakan penarafan atau akreditasi kepada perusahaan-perusahaan sosial ini,” katanya.

Ewon menyatakan demikian selepas mengadakan lawatan ke Infinite Minds Academy di Bandar Sunway di sini, semalam.

Akademi tersebut merupakan satu perusahaan sosial yang memberikan latihan khas berasaskan digital, membangun dan memasarkan pelbagai produk digital dan lain-lain produk yang dihasilkan oleh remaja-remaja berkelainan upaya.

Sementara itu, Pengarah syarikat akademi Kiren Kaur menyatakan ucapan terima kasih kepada Ewon di atas keprihatinan dan komitmen beliau membangunkan perusahaan sosial di negara ini termasuk meninjau sendiri aktiviti-aktiviti syarikat yang terlibat dalam perusahaan tersebut.

“Beberapa hari yang lepas, Chamber for Social Enterpreneur and Cooperative telah mengadakan kunjungan ke pejabat beliau dan saya telah menyatakan perusahaan sosial yang saya bangunkan. Beliau menyatakan akan mengunjungi akademi saya dan hari ini saya gembira dapat menerima kunjungan beliau,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular